Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi bidas AG rayu keputusan mahkamah bebaskannya
Diterbitkan:  Dec 6, 2019 9:34 PM
Dikemaskini: 2:55 PM

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mensasarkan Peguam Negara, Tommy Thomas selepas rayuan difailkan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam melepaskan dan membebaskan beliau dan kerani bank, Johari Mohamad atas tuduhan di bawah Akta Perbankan dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia).

Bekas anggota parlimen Pandan itu juga berharap Thomas melakukan perkara sama dengan mengheret ahli keluarga bekas menteri Shahrizat Abdul Jalil yang terbabit dalam kes National Feedlot Corporation (NFC) ke muka pengadilan.

"Peguam Negara telah memfailkan rayuan untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi berhubung Bafia dalam kes NFC.

"Saya harap dia berusaha membawa ke muka pengadilan ahli keluarga bekas menteri yang mendapat manfaat daripada RM250 juta. Tiada seorang pun daripada mereka telah didakwa di mahkamah setakat ini," katanya menulis di Twitter petang ini.

Bercakap kepada Malaysiakini selepas itu, Rafizi berkata beliau mengakui adalah hak Peguam Negara untuk membuat rayuan.

Namun katanya, langkah meneruskan dakwaan bermotifkan politik daripada pentadbiran sebelum ini adalah bertentangan dengan pelantikan Thomas untuk melaksanakan pembaharuan.

"Pada tahap peribadi, sudah tentu ironi terbesar apabila Thomas menjadi AG daripada kerja keras orang seperti saya yang meletakkan tengkuk kami untuk menukar kerajaan, hanya untuk beliau menunjukkan tumpuan berlebihan dalam mengekalkan hukuman penjara terhadap saya.

"Sebaliknya ini sangat jelas. Dia menggunakan kuasanya untuk menarik balik kes terhadap pemimpin Pakatan Harapan lain, termasuk (Setiausaha Agung DAP) Lim Guan Eng dan (Ketua Penerangan Amanah) Khalid Samad, namun dia mengejar hukuman penjara terhadap saya sehingga ke mahkamah yang terakhir.

"Lebih-lebih lagi apabila dia tidak melakukan apa-apa untuk membawa mereka yang di belakang NFC untuk bertanggungjawab terhadap RM250 juta - dia boleh kata dia telah cuba untuk mendapatkan kembali wang itu melalui saman sivil, tetapi orang-orang ini masih tidak dipertanggungjawabkan atas semua wang rakyat yang mereka belanjakan,"katanya.

Menurut Rafizi, keputusan pembebasan oleh mahkamah tinggi adalah isu undang-undang yang jelas, di mana pihak pendakwaan gagal mengemukakan bukti yang memenuhi kehendak Akta Keterangan.

"Saya bayangkan ia adalah satu kes mudah. Tetapi  dia (Thomas) ada hak (membuat rayuan) dan ia akan diadili oleh orang ramai, "katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Rafizi tidak terkejut dan tidak gentar dengan perkembangan terkini itu.

"Pasukan saya jangka Peguam Negara akan membuat rayuan supaya kami bersedia di mahkamah. Kita mempunyai kes yang kuat, jadi kita akan melalui proses mahkamah,"katanya.

Pada 15 Nov lalu Mahkamah Tinggi Shah Alam mengetepikan sabitan terhadap Rafizi dan bekas kerani Public Bank Johari Mohamad kerana melanggar akta Bafia dan membebaskan serta menggugurkan tertuduh daripada hukuman penjara 30 bulan yang dikenakan sebelum ini.

Terdahulu kedua-duanya dijatuhkan hukuman berkenaan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 7 Februari 2018 selepas Hakim Zamri Bakar mendapati mereka bersalah kerana mendedahkan data perbankan dari akaun NFC.

Untuk rekod, Bafia telah dimansuhkan pada tahun 2013.

Kedua-dua mereka didakwa pada 2012 kerana melanggar Seksyen 97 Bafia bagi pendedahan empat akaun milik NFC dan Mohd Salleh, yang merupakan suami bekas ketua Wanita Umno Shahrizat Abdul Jalil.


Lihat Komen
ADS