Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images

PAU2019 |  Mesyuarat agung Umno kali ini berlangsung sederhana tanpa mendapat pelbagai tajaan, berbanding ketika menjadi parti pemerintah dahulu.

Malaysiakini berkesempatan meninjau pendapat beberapa perwakilan yang hadir semasa persidangan Umno di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC), Kuala Lumpur semalam.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Jamal Mat Yunos berkata aktiviti di peringkat akar umbi juga berjalan seperti biasa.

Jelasnya, malahan terdapat anggota parti yang sanggup berbelanja menggunakan wang sendiri tanpa bergantung kepada pimpinan Umno.

"Kami bergerak seadanya. Cuma tekanan daripada kerajaan yang masih menaruh dendam kepada pemimpin Umno.

"Akaun dibekukan di peringkat negeri, bahagian, seolah-olah mereka (kerajaan) tidak mahu Umno ini ada aktiviti, saya di peringkat bahagian mereka (ahli Umno) faham masalah saya. Program mereka sendiri buat derma dan lancarkan tabung" katanya.

Jamal berkata, susulan kekalahan Umno pada PRU14 lalu, Umno merujuk dan belajar daripada PAS tentang bagaimana mereka boleh bertahan sebagai pembangkang hingga sekarang.

"Kami banyak belajar daripada PAS...kami belajar bagaimana PAS bertahan lama sedangkan PAS tidak ada sumber khusus dan adakan program tanpa sumbangan," katanya.

Ditanya mengenai kerjasama antara Umno dan PAS, Jamal berkata gabungan antara dua parti itu ternyata memberangsangkan dan mendapat sambutan yang lebih besar.

"Sangat baik. Contohnya kalau program di kawasan (Sungai Besar), MCA ada datang...MIC pun datang. Kalau dulu majlis kenduri Umno, PAS tak datang. Sekarang kenduri kahwin pun dia datang," katanya.

Sementara itu, seorang veteran Umno dari Rompin, Pahang, Abdul Karim Ibrahim, 62, berkata, sebelum kekalahan parti itu pada PRU14, menghadiri persidangan Umno amat mudah kerana segalanya ditaja oleh parti Umno terutama dari aspek pengangkutan.

“Dulu kami datang PAU, bas semua ditaja…cuma sekarang (PAU2019) tidak ada. Kena guna duit poket sendiri. Hanya perwakilan yang dilantik sahaja akan ditaja.

“Iyalah, apabila akaun Umno dibekukan dan waktu ini melancarkan tabung derma adalah satu keperluan,” katanya kepada Malaysiakini ketika di temui di PWTC, semalam.

Ditanya mengenai gerak kerja di peringkat akar umbi di Pahang, Abdul Karim (gambar, atas) berkata ia masih kekal sama.

“Walaupun kerajaan sudah bertukar, tapi gerak kerja akar umbi Pahang masih sama. Mungkin juga sebab kami kerajaan negeri masih diperintah BN ditambah pula dengan penyatuan ummah (parti PAS), jadi gerak kerja menjadi lebih mudah,” katanya.

Exco Puteri Umno dari Kuala Kangsar, Perak, Puteri Farhana Megat Ahmad Shahrani pula mengakui pada awalnya dia tidak dapat menerima hakikat kekalahan Umno pada PRU14.

Katanya, kesan peristiwa pahit itu memakan masa berbulan-bulan untuk kembali pulih.

“Suasana PAU tahun lepas pun (2018) memang murung. Tapi tahun ini semangat kami kembali tambahan pula kami (BN) menang empat pilihanraya kecil. Kami bersemangat dan maju ke hadapan," katanya.

Puteri Farhana (gambar, atas) menambah, akar umbi Umno di Perak menyokong kerjasama politik Umno dan PAS dalam Muafakat Nasional.

Dia menyifatkan gabungan itu tidak eksklusif kerana menyatukan pelbagai bangsa yang terdiri di kalangan masyarakat Melayu, Cina dan India.

Bagaimanapun, Pengerusi Persidangan Tetap Umno Cawangan Semporna, Sabah, Abdul Shan Nuasan, 64 berkata Umno di Sabah tidak mempunyai masalah kewangan lebih-lebih lagi untuk menghadiri persidangan tahunan parti di PWTC.

Ini kerana, menurut Abdul Shan, kos penerbangan ditanggung sepenuhnya oleh Umno Sabah sendiri meskipun terdapat 500 perwakilan dari Umno Sabah ke PAU2019 yang berlangsung selama empat hari bermula 4 hingga 7 Dis.

“Kewangan Umno di Sabah tiada masalah dari segi material pun begitu. Kos perjalanan saya dari Sabah ke PWTC semuanya dibiayai oleh Umno Sabah.

“Saya sudah derma RM50, ini adalah untuk membantu parti dan melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli untuk memastikan Umno kembali memerintah semula," katanya.

Abdul Shan (gambar, atas) berkata kini dia menumpukan perhatian untuk PRK Kimanis yang bakal berlangsung susulan keputusan mahkamah membatalkan kemenangan Anifah Aman sebagai anggota parlimen kerusi itu.

“Kini, semangat kami bertambah kuat dan kami sedia menzahirkan komitmen (pada Umno) untuk menang pada PRK Kimanis.

"Justeru, tanpa bantuan dari Umno pusat, Umno Sabah akan terlerai,” katanya.

Bagi Ketua Wanita Kulim, Bandar Baru, Kedah, Nazira Abdul Rahim pula, dia sedar Umno tidak mempunyai kedudukan kewangan sebagaimana zaman ketika parti itu berkuasa dahulu.

Justeru, kata Nazira, Umno di bahagiannya tidak mengharapkan peruntukan daripada parti untuk menggerakkan usaha-usaha yang dijalankan di peringkat akar umbi.

“Kita di akar umbi sekarang tidak harapkan peruntukan dari parti sejak kalah 9 Mei tahun lalu. Kami terima hakikat kami kalah pada PRU14.

"Jadi, Wanita Umno sangat kreatif, bersemangat dan kita mengumpul penggerak utama yang cukupkan kuorum jadi kita dari rumah ke rumah panggil untuk sertai mesyuarat. Kita punya tanggungjawab lagi besar berbanding dulu sebab kita sudah kalah," jelasnya.

Nazira berkata, tahun ini berbeza dengan tahun yang sebelumnya kerana terdapat program yang dianjurkan akar umbi Wanita Umno bergabung dengan parti Muslimat PAS

"Program kita (Wanita Umno) ada yang bergabung dengan wanita PAS...mereka turun serentak secara santai. Kita nyatakan kenapa harus bergabung dengan PAS dan tekankan gabungan ini untuk pastikan kebajikan (Umno dan PAS) dijaga," katanya.

Lihat Komen
ADS