Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Suasana di Dewan Merdeka, PWTC, pagi tadi meriah apabila perwakilan Umno Bahagian Kulai, Johor, Mohd Jafni Md Shukor berucap dalam bahasa Cina.

Ucapan beberapa minit itu menarik perhatian dan membuatkan perwakilan tergelak, malah memberikan tepukan gemuruh meskipun rata-rata di kalangan mereka tidak memahami apa yang diucapkan.

Dalam ucapan bahasa Cina itu, Mohd Jafni, mengingatkan MCA untuk tidak mengecewakan pengundi di Tanjung Piai terutamanya kaum Cina, selepas kejayaan dalam pilihan raya kecil.

“Gunalah kemenangan Tanjung Piai sebagai semangat yang baru. Jangan mengecewakan sokongan pengundi Tanjung Piai terutamanya kaum Cina.

“Kami percaya MCA mampu mengembali kepercayaan kaum Cina terhadap BN. Jangan mengecewakan kami. Terima kasih PAS. Terima kasih BN. Terima kasih rakyat Malaysia.

“BN telah menang majoriti 15,086 undi.

“Tidak kira apa yang berlaku kami terus kekal menyokong BN, terus menyokong Umno, terus menyokong Muafakat Nasional,” katanya.

Wee Jeck Seng - calon BN yang berjaya kembali ke parlimen

Mohd Jafni berucap semasa membentangkan ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung Umno 2019.

Beliau bagaimanapun hanya berucap pendek dalam bahasa Cina, kira-kira seminit. Kebanyakannya ucapannya sebelum itu dibuat dalam bahasa Melayu.

Pengerusi Tetap Umno Badruddin Amiruldin juga sempat mengusi Mohd Jafni dengan mencelah “wo bu zhi dao (saya tidak tahu)”.

Sebelum itu, menggunakan bahasa kebangsaan, Mohd Jafni berkata, majoriti orang Melayu mahukan calon Melayu dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai.

Namun terpaksa akur apabila BN memutuskan agar kaum Cina dipilih sebagai calon di Tanjung Piai.

“Kami berlapang dada menerima calon Umno (MCA) sebagai calon BN di Tanjung Piai.

“Saya ingat lagi, kemarahan dan kekecewaan yang teramat di kalangan orang Melayu ketika MCA diumumkan tetapi pimpinan Umno telah memberikan keputusan dan akur dan menerima keputusan itu dengan hati terbuka,” katanya.

Lihat Komen
ADS