Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar: Kekecohan di kongres AMK berlaku kerana saya tak cukup tegas

Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata kekecohan di Kongres Pemuda PKR (AMK) semalam antara lain kerana beliau tidak terlalu tegas dan pemaaf sebelum ini.

"Saya ini sangat conciliatory and forgiving (bersifat mengutamakan kedamaian dan pemaaf) kadang-kadang macam semalam.

"Jadi, orang ingat tak apa masing-masing diri ikut pemimpin atasan mereka sendiri.

"Jika saya lebih tegas, saya fikir mungkin saya patut pecat kebanyakan mereka (yang terlibat pergaduhan semalam)," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan di Kongres PKR di MITC Melaka, hari ini.

Kekecohan berlaku pada kongres AMK semalam selepas beberapa perwakilan mendakwa tidak dibenarkan masuk sedangkan sekumpulan pemuda berbaju hitam dikatakan hadir sebagai pemerhati dibenarkan masuk.

Siasatan polis setakat ini mendapati dua individu cedera dalam kejadian itu, masing-masing luka di dahi kanan dan belakang kepala.

Dua individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden yang kini disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Kejadian pergaduhan semalam terjadi meskipun Anwar dan timbalannya Mohamed Azmin Ali dilihat sempat mencapai kata sepakat pada saat-saat akhir untuk menetapkan Azmin sebagai perasmi kongres AMK.

Anwar semalam berkata lembaga disiplin parti akan menyiasat kekecohan itu dan pihak yang terlibat akan dipecat.

Mengulas lanjut pada sidang media hari ini, Anwar berkata pergaduhan semalam juga disebabkan wujudnya puak berbeza dalam parti.

"Sudah tentu ini adalah kesan keberpuakan yang semakan menjadi-jadi, kebencian antara satu sama lain.

"Saya seharusnya menegaskan bahawa, cukuplah semua ini," katanya.


Lihat Komen
ADS