Paling Popular
Terkini

PAU 2019 | Seperti kebiasannya, pasti akan ada pemimpin atau perwakilan yang berucap di Perhimpunan Agung Umno membuat jenaka atau gurauan mencuit hati.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan hari ini misalnya 'mengisytiharkan' dirinya sebagai 'penembak babi' ketika ucapan pergulungan di Perhimpunan Agung Umno ke-73.

"Kau tahu aku siapa? Akulah penembak babi," kata Mohamad secara berseloroh selepas Pengerusi Tetap Umno, Badruddin Amiruldin mengingatkan Adun Rantau itu bahawa masa yang diberikan untuk berucap telah tamat.

"Janganlah kacau. Kau YB-kah aku YB? Kau tahu aku siapa?" kata Mohamad kepada Badruddin.

"Aku penembak babi itu," kata Mohamad sebelum Badruddin menjawab: "Babi hutankah atau babi bandar?".

Sementara itu, gelagat antara Mohamad dan Badruddin tidak terhenti di situ.

Mohamad secara bergurau menegur supaya pengerusi tetap tidak menganggu ucapannya.

"Kita tengah cakap sedap, dia potong. Mangkuk punya pengerusi, dah lupa apa nak cakap ini? Jangan kacau-kacau," kata Mohamad selamba.

'Jangan jadi juara penembak babi'

Terdahulu, perwakilan mahasiswa Muhammad Mirza Adnan mengingatkan Umno supaya tidak melahirkan anak muda yang menjadi "juara penembak babi".

Sindirian sinis itu dilontarkan Mirza bagi mengambarkan kegagalan Pakatan Harapan (PH) mengangkat dan melahirkan anak muda berkualiti.

"Menteri Belia dan Sukan adalah contoh terbaik anak muda yang tidak bersedia tetapi diberi peluang, namun jadi bahan jenaka kita semua.

"Beliau juga menjadi defisit kepercayaan anak muda, kita tidak mahu anak muda Umno jadi juara penembak babi," katanya ketika membahas usul ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2019 di PWTC, hari ini.

Tidak dapat dipastikan mengapakah ungkapan "juara penembak babi" itu keluar dari mulut perwakilan berkenaan.

Bagaimanapun, ia dipercayai merujuk kepada kekecohan DUN Melaka pada 21 Nov lepas berikutan pertikaman lidah antara exco, Norhizam Hassan Baktee dan Adun-adun dari BN berkenaan isu babi hutan di negeri itu.

Norhizam mendedahkan sebanyak 479 babi hutan berjaya ditembak dalam operasi dijalankan secara berkala menyebabkan speaker DUN, Wira Omar Jaafar, secara berseloroh mengisytiharkan exco berkenaan "juara penembak babi".

Lihat Komen
ADS