Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
384 kes rogol di P Pinang dari 2014 hingga 2018

Sebanyak 384 kes rogol dilaporkan berlaku di Pulau Pinang dari tahun 2014 hingga tahun lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam negeri Chong Eng.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 212 kes melibatkan mangsa yang berusia antara 13 dan 15 tahun.

“Ini adalah kes yang dilaporkan, terdapat begitu banyak kes yang tidak dilaporkan. Bagi setiap kes yang dilaporkan, sekurang-kurangnya lima kes tidak dilaporkan disebabkan malu dan takut,” katanya pada sidang media, di George Town hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis perasmian penutupan program 'Penang Goes Orange' (PGO) oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

PGO merupakan kempen yang dijalankan oleh kerajaan negeri bersama Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) sejak tahun 2014 dalam usaha menghentikan keganasan seksual terhadap wanita.

Pada program itu, pelbagai aktiviti sukan lasak diadakan selain peserta turut berpeluang mempelajari mengenai isu keganasan seksual terhadap wanita untuk meningkatkan kesedaran para peserta yang terdiri daripada penuntut institusi pengajian tinggi tempatan.

Sementara itu, Chow berkata kerajaan negeri tidak akan berhenti untuk bersuara demi kaum wanita dan beliau berbangga kerana Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang melaksanakan Dasar Keterangkuman Gender bagi mengurangkan ketidaksamarataan antara jantina.

“Hak asasi bagi setiap orang adalah bebas daripada sebarang keganasan. Sehubungan itu, anda mengambil tindakan yang betul untuk menyokong gesaan supaya dihentikan keganasan terutamanya terhadap wanita dan gadis,” katanya.

PGO dilancarkan pada 17 Nov lepas di Padang Dewan Datuk Haji Ahmad Badawi, Butterworth dengan perarakan yang disertai oleh ribuan peserta sejauh 2.6 kilometer.

- Bernama

Lihat Komen
ADS