Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan meminta anggota Umno supaya tidak terlalu mendedahkan strategi parti kepada pihak yang tidak sepatutnya.

Menurutnya, anggota Umno tidak boleh terlalu berharap dengan Muafakat Nasional dan perlu ada strategi khas untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke15.

"Jangan telanjangkan sangat Umno ini. Rahsia tetap rahsia. Jangan dedahkan sangat ini kita nak buat, itu kita nak buat. Jangan bagi strategi kita kepada yang tidak sepatutnya tahu strategi kita."

"Jangan lah kita terbawa-bawa sangat yang saya katakan tadi sehinggakan Muafakat Nasional ini seolah-olah jaminan kita untuk mengambil kerajaan," katanya dalam ucapan pergulungan di Perhimpunan Agung Umno ke-73 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Lebih mesra dipanggil sebagai Tok Mat, beliau berkata Muafakat Nasional bersama PAS bukan jaminan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

"Jangan lah kita terbawa-bawa sangat yang Muafakat Nasional ini seolah-olah jaminan kita untuk mengambil kerajaan. Tidak, kita jauh daripada itu. Jauh lagi kerana PRU15, kalau kita tidak menang baik kita berhenti," tegasnya.

"Jangan jadi pejuang bangsa. Kerana itulah titik tolak kita untuk bangun semula," tambahnya.

'Jangan harap bantuan luar'

Katanya lagi Umno sebagai parti politik terbesar di negara tidak boleh berharap bantuan 'daripada luar'.

"Jangan kita berharap sangat dengan orang. Jangan kita berharap sangat bantuan daripada luar. Kalau kita kuat, kita akan pasti dapat tubuh kerajaan dengan baik. Bila kita kuat orang akan datang kepada kita.

"Janganlah kita dengan sikap sambil lewa dan berharap kepada orang. Kerana beberapa ketika kebelakangan ini saya lihat, penyatuan ummah dan Muafakat Nasional telah memberikan petanda kita dah rilek sangat.

"Macam dah tak perlu nak buat apa-apa. Dah ada macam satu jaminan bahawa kita akan tetap menang PRU15," katanya

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu juga memberitahu kemenangan BN dalam empat PRK lalu bukan jaminan Umno mampu menundukkan PH dalam PRU.

"Kemenangan di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan Tanjung Piai bukan satu jaminan. Kerana PRK dan PRU dua perkara yang amat berbeza. Strategi pun berbeza isu pun berbeza."

"PRK ini tempur-tempur kita, tempur kecil-kecil yang perlu kita jadikan sebagai strategi untuk kita menjalankan strategi-strategi kita. Di sini lah kita pastikan strategi kita betul atau tidak. Di sinilah kita nak memperbetulkan kaedah-kaedah kita menghadapi PRU peperangan yang lebih besar," katanya.

Lihat Komen
ADS