Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Umno ikrar bentuk kerajaan ikut pintu depan

Kesemua 38 anggota parlimen Umno hari ini berjanji di perhimpunan agung parti bahawa mereka hanya akan menjadi kerajaan melalui pintu depan.

Ini selepas Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi meminta mereka berdiri selepas mendedahkan bahawa semua anggota parlimen berkenaan mencapai konses untuk bersama-sama sebagai pasukan.

“Janganlah dengar cerita dalam media sosial, dari mana-mana batu api terhadap rakan yang jadi MP (ahli parlimen), yang dikatakan cuba untuk lakukan rundingan dengan seorang daripada pintu belakang,” katanya.

“Saya telah bertemu dengan mereka, mereka memberi jaminan dengan saya, mereka akan terus tetap sebagai MP Umno dan BN,” katanya.

Kesepakatan itu dicapai oleh semua anggota parlimen, termasuk anggota parlimen Pekan Najib Razak dan anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah di sebuah hotel di Kampung Baru di Kuala Lumpur.

“[…] kami sepakat sebarang tindakan yang dilakukan ialah tindakan en blok, secara bersama, bersatu, nokhtah,” katanya lagi.

“Jika ada MP yang daripada Umno hadir diri atas pentas dewan, saya nak tengok mereka berdiri semua, sebagai nyatakan penyatuan ikrar, kita jemput,” katanya.

Wakil rakyat Sembrong Hishammuddin Hussein antara yang mengangkat tangan.

Zahid berkata “Inshallah kita berikrar kita akan bersatu hati, hanya melalui pintu hadapan untuk kita membentuk kerajaan.”

Dalam ucapan penggulungannya, Zahid juga berkata Muafakat Nasional akan mengadakan kongres kebangsaan pertama sebelum Mei 2020.

Beliau berkata, kongres Muafakat Nasional di peringkat negeri juga telah dijalankan.

Zahid juga mengucapkan tahniah kepada semua 191 bahagian kerana bekerjasama dengan PAS untuk mengadakan ceramah perdana di semua kawasan pilihan raya.

Zahid juga berjanji akan mengemudi Umno bersama 'anak-anak kapalnya' dan mereka tidak akan berlawan antara satu sama lain.

Sementara itu, Zahid berkata, parti itu telah memberikan autonomi kepada Umno Sabah untuk memilih calon bagi kerusi Parlimen Kimanis.

Beliau juga berpesan kepada seluruh ahli Majlis Tertinggi  Umno untuk turun berkempen bagi memenangkan calon BN pada pilihan raya kecil Kimanis akan datang.



Lihat Komen
ADS