Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiada kelibat Azmin dan penyokongnya di hari terakhir kongres PKR
  • 10.30 am: Laporan ini telah diperbetulkan. Versi terdahulu artikel ini terkeliru antara kerusi pemerhati dan kerusi perwakilan.

KONGRES PKR | Hari terakhir kongres PKR menyaksikan majlis dimulakan tanpa kehadiran beberapa pemimpin pusat.

Antara pemimpin PKR yang tidak kelihatan ialah Timbalan Presiden Mohamed Azmin Ali, Naib Presiden Zuraida Kamaruddin dan Ketua Wanita Haniza Talha.

Turut tidak kelihatan ialah anggota majlis kepimpinan pusat (MPP) yang dikaitkan dengan kem Azmin.

Pemimpin utaman PKR dijangka menyampaikan ucapan penggulungan sebelum kongres melabuhkan tirai pukul 2.30 petang nanti.

Bagaimanapun, setakat pukul 10 pagi ini, empat pemimpin yang dijadualkan menyampaikan ucapan tidak kelihatan. Mereka ialah Haniza, Zuraida, Naib Presiden Ali Biju dan Azmin.

Semalam, sejumlah hadirin kongres yang dipercayai penyokong Azmin meninggalkan dewan sebagai bantahan terhadap ucapan perwakilan di pentas yang dilihat mengkritik timbalan presiden mereka.

Pada sidang akhbar di tempat berasingan semalam, mereka juga mendakwa bahawa analogi tentang Si Kitol dan Raja Mandeliar yang digunakan Presiden Anwar Ibrahim dalam ucapannya membuka laluan kepada para pembahas lain untuk melancarkan serangan peribadi terhadap Azmin.

Beberapa perwakilan semalam menggunakan istilah "pengkhianat" dalam ucapan mereka.

Pagi ini, Azmin memuat naik kenyataan pendek di media sosialnya yang berbunyi: "Kerana pengkhianat inilah parti ini terbina selama 20 tahun".

 

Bagaimanapun, Naib Presiden Tian Chua, yang merupakan antara yang berada sidang akhbar Azmin semalam, dilihat di pentas di kongres pagi ini.

Tian Chua juga dijangka menyampaikan ucapan penggulungan hari ini.

Haniza dijangka akan digantikan oleh Naib Ketua Wanita Sangeetha Jayakumar.

Ketika laporan ini ditulis, jurucakap Haniza masih belum menjawab pertanyaan tentang ketidakhadirannya.

Tidak dapat dipastikan jika Azmin akan diwakili oleh sesiapa.

[Berita lanjut menyusul]


Lihat Komen
ADS