Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perdamaian sentiasa ada dalam pertimbangan kami, kata Xavier

KONGRES PKR | Setelah berakhirnya Kongres Nasional Tahunan PKR ke-20 yang mengundang perhatian ramai sepanjang hujung minggu ini, naib presiden parti itu Dr A Xavier Jayakumar berkata perdamaian antara dua kem - Anwar Ibrahim dan Azmin Ali - sentiasa menjadi pertimbangan di kalangan pemimpin parti itu.

"Sudah tentu ada segala kemungkinan untuk kita berdamai.

"Kebanyakan anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) berada di kongres. Hanya beberapa saja yang tiada dan sebahagiannya ada alasan untuk tidak hadir.

"Hal itu kita kena tengok balik. Tetapi perdamaian sentiasa ada dalam pertimbangan kami," katanya ketika ditanya pemberita berkenaan kemungkinan kedua-dua pihak berdamai selepas berakhirnya kongres tahun ini.

Perhatian terhadap program itu, yang diadakan di Pusat Dagangan Antarbangsa Melaka (MITC), meningkat apabila tercetusnya pergaduhan ketika berlangsungnya kongres sayap pemuda.

Ia disusuli dengan tindakan pemimpin serta ratusan anggota parti meninggalkan dewan semalam, ketika kongres utama, apabila ucapan sejumlah perwakilan mengkritik Azmin yang merupakan timbalan presiden.

Azmin bersama para pemimpin yang menyokongnya kemudian mengadakan sidang media tergempar bagi menjelaskan perkara itu, yang antara lain menyalahkan ucapan dasar Anwar yang menyentuh kisah si Kitol dan Raja Mendeliar sebagai membuka jalan untuk para pembahas menyerang Azmin.

Hari ini pula Azmin serta pemimpin parti yang menyokongnya - antaranya naib presiden Zuraida Kamaruddin dan ketua wanita Haniza Talha - tidak hadir ke kongres.

Xavier berkata lagi, PKR perlu melakukan post mortem selepas berakhirnya kongres kali ini.

"Kita akan duduk berbincang untuk lakukan post mortem dan memutuskan apa yang kita akan buat selepas ini.

"Akan ada banyak sesi perundingan dilakukan sebelum sesuatu keputusan dibuat," katanya yang dilihat sebagai salah seorang pemimpin parti yang menyokong Anwar.

Dalan pada itu, bekas timbalan presiden PKR Syed Husin Ali menyifatkan kongres tahun ini berjalan dengan sangat baik jika mengambil kira jumlah kehadiran sepanjang ia berlangsung.

Berkenaan tindakan perwakilan yang keluar dewan semalam, beliau menyifatkan jumlahnya sebagai kecil dengan hampir 85 peratus perwakilan kekal mengikuti kongres.

Beliau turut mengulas ucapan Anwar berkenaan pemilihan pembahas serta tindakan lembaga disiplin parti yang mengambil tindakan terhadap anggota yang dilaporkan terlibat dengan rasuah.

Syed Husin Ali

Dalam ucapannya, Anwar berkata perkara itu telah ditetapkan dalam mesyuarat sebelum ini.

Ditanya tentang perkara itu, Syed Husin berkata Anwar memang tidak boleh membuat setiap keputusan untuk parti secara bersendirian dan penjelasan itu bagi mengelakkan salah faham.

"Kita ada mesyuarat, kita ada biro politik dan MPP jadi semua itu kena bincang.

"Dia tak boleh buat sendiri. Kalau dia buat semua sendiri dia bersifat diktatorial lah," katanya yang ditemui selepas kongres berakhir, hari ini.

Laporan oleh Annabelle Lee, Naimmullah Jaya dan Syazwana Amir.

Lihat Komen
ADS