Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Biarpun terus dikecam dan kelihatan tiada pintu terbuka untuk Amanah buat PAS, presiden parti itu, Mohamad Sabu, yakin masih ada yang sayang kepada beliau.

Menurut Mohamad, dalam beberapa lawatannya ke atas bekas pemimpin PAS - termasuk yang uzur - mereka memberikan layanan yang mesra walaupun mereka tidak lagi bersama dalam satu parti.

“Saya sempat ziarah pimpinan utama PAS (dulu) yangsudah uzur, tua... dia sekarang pegang tangan saya, tidak mahu lepas dan kata: kau dah jadi menteri sekarang ya....

“Saya tengok ada terpancar kasih sayang yang tidak terhingga dia kepada saya," katanya pada ucapan penggulungan di sesi akhir Konvensyen Amanah Nasional di Pusat Konvenysen Darul Ehsan (IDCC), Shah Alam, hari ini.

Amanah mengadakan konvensyen tahunannya sejak Jumaat lalu.

Untuk rekod Mohamad pernah meduduki jawatan timbalan presiden PAS sebelum beliau dan sesetengah pemimpin berhaluan sederhana disingkirkan perwakilan dalam muktamar pada 2015.

Semasa dalam PAS, Mohamad adalah antara pemimpin yang gigih bergerak bersama parti itu dan pernah beberapa kali dikenakan tindakan oleh polis dan mahkamah.

Susah terima Muafakat Nasional

Dia juga pernah dikenakan tindakan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebanyak dua kali.

Kata Mohamad sesetengah pemimpin veteran PAS masih sedar sebahagian ahli Amanah pernah berkorban untuk parti itu suatu ketika lalu.

Malah katanya ada antara pemimpin Amanah sekarang pernah dipenjarakan di bawah kerajaan BN.

Pada masa sama Mohamad berkata beliau yakin Presiden PAS, Abdul Hadi Awang masih sayang kepadanya di sebalik kecaman dan kritikan dibuat terhadap Amanah.

“Saya yakin presiden parti (Abdul Hadi Awang) masih sayang sama saya, kita juga sayang kepada dia.

“[...] tetapi dia tidak mahu sayang pada kita pula sekarang,” katanya lagi.

Sementara itu, Mohamad yang juga menteri pertahanan berkata Amanah yakin dapat menawan negeri-negeri Pantai Timur dalam pilihan raya akan datang berdasarkan kepada sambutan diterima setakat ini.

Jelas ahli parlimen Kota Raja itu, ketika ini ramai ahli PAS dari Kelantan dan Terengganu berhijrah ke dalam Amanah.

Katanya kawasan paling banyak mencatatkan pertambahan ahli sepanjang tahun ini ialah Pasir Mas, Kelantan.

“Pasir Mas itu di Kelantan, jadi kami yakin dapat tawan pantai timur,” katanya.

Mohamad berkata perkara itu berpunca daripada didikan PAS yang menolak Umno sejak sekian lama namun kini pemimpin kedua-dua parti bekerjasama erat membentuk Muafakat Nasional.

“Ahli PAS dah dididik lama tentang kebencian kepada orang Umno sampai sudah kafir-mengkafirkan sesama sendiri, jadi bukan mudah nak terima Muafakat Nasional.

“Sebab itu ramai sudah bersama dengan Amanah,” jelasnya lagi.

Lihat Komen
ADS