Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amalan berkongsi perayaan identiti rakyat Sabah - Poon

Rakyat perlu menolak sebarang pengaruh negatif yang boleh menggugat semangat kekitaan dalam menyambut perayaan masing-masing di Malaysia, khususnya di Sabah, kata Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung.

Beliau berkata pengaruh pihak tertentu, yang suka melihat rakyat pelbagai kaum saling prejudis dan bertelingkah antara satu sama lain, menjejaskan perpaduan dan kemajuan sosioekonomi.

"Kerajaan menghargai setiap peranan dan sumbangan yang telah diberikan oleh rakyat di Sabah, yang dicerminkan melalui keutuhan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

"Amalan 'berkongsi perayaan' dan menghormati perayaan kaum-kaum lain serta tradisi kunjung-mengunjung di musim perayaan ini perlu diteruskan supaya ia kekal menjadi identiti masyarakat Sabah yang unik lagi harmoni," katanya pada sambutan pra Krismas di Sandakan malam tadi.

Poon juga berkata kepelbagaian budaya dan perbezaan amalan agama yang terdapat di Sabah jarang ditemui di luar negara.

Oleh itu, beliau berharap rakyat Sabah terus bersama-sama kerajaan menyumbang ke arah kesejahteraan dan keharmonian bagi memastikan kemajuan dan kemakmuran negeri.

- Bernama

Lihat Komen
ADS