Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Hanya orang berjiwa salah sebut soal pemecatan'

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, menganggap kenyataan Zuraida Kamaruddin mengenai kesanggupannya dipecat merupakan satu pengakuan bersalah daripada naib presiden parti berkenaan.

Kata Saifuddin, tentu Zuraida sudah melakukan sesuatu kesalahan dan pelanggaran disiplin parti sehingga beliau boleh berkata demikian.

"Hanya orang yang jiwanya bersalah yang menyebut soal pemecatan.

"Orang yang tahu bahawa apa yang dilakukannya itu melanggar disiplin parti, orang itu sendiri yang akan keluar dari mulutnya bahawa dia bersedia untuk dipecat.

"Itu adalah sebagai pengakuan bersalah (admission of guilty) pada hemat saya," katanya semasa ditemui media di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam kumpulan yang menyokong Azmin Ali, berkumpul di sebuah hotel di Kuala Lumpur untuk menyatakan sokongan kepada Timbalan Presiden PKR itu.

Zuraida - yang sekian lama diketahui memihak kepada Azmin - adalah salah seorang pemimpin kanan PKR yang berucap. Turut bercakap kepada kira-kira 2,000 hadirin ialah seorang lagi naib presiden parti itu, Tian Chua.

Majlis berkenaan dinamakan sebagai Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Dalam ucapannya Zuraida berkata beliau dan Azmin rela dipecat jika kenyataan keras dibuat kepada kepemimpinan tertinggi PKR menyebabkan mereka dianggap pengkhianat.

Ditanya mengenai kemungkinan tindakan disiplin akan diambil terhadap kumpulan Azmin, Saifuddin berkata, Presiden PKR Anwar Ibrahim, masih terbuka untuk berdamai.

"Beliau bersedia untuk duduk berbincang, keadaannya begitu buat masa ini," katanya.

Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, mood ahli parti ialah, mereka tidak boleh menerima mana-mana pemimpin yang gagal mematuhi disiplin organisasi.

"Hal itu termasuk dalam isu menghadiri mesyuarat," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS