Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM tangkap 411 individu di Sabah sebab rasuah sejak 2015

Seramai 411 orang terdiri dari sektor awam, swasta serta orang awam di Sabah telah ditangkap kerana melakukan kesalahan rasuah sejak 2015 sehingga kini.

Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya, berkata dalam tempoh yang sama 2,318 maklumat telah diterima oleh SPRM Negeri Sabah.

"Angka ini agak membimbangkan dan langkah sewajarnya perlu diambil agar gejala rasuah dapat dibanteras dan menjadikan negeri Sabah, negeri bersih daripada rasuah, katanya pada Program Integriti dan Anti Rasuah Kerajaan Negeri Sabah sempena sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal.

Dalam pada itu, Latheefa berkata dalam usaha menggalakkan penjawat awam untuk tampil melaporkan sebarang penawaran wang rasuah kepada SPRM, kerajaan telah mewujudkan satu mekanisme khusus untuk memberikan pengiktirafan kepada penjawat awam melaporkan kes rasuah.

Katanya, ia menerusi ‘Garis Panduan Pengiktirafan kepada Penjawat Awam Yang Melaporkan Pemberian Atau Penerimaan Rasuah’ dan ini sekaligus meningkatkan lagi imej sektor awam dan persepsi baik bahawa penjawat awam tidak berkompromi dengan rasuah.

Pada 30 Okt lepas, SPRM telah memperakukan kepada kerajaan untuk memberikan pengktirafan kepada 40 penjawat awam yang berjaya melaporkan penawaran rasuah kepada SPRM.

Katanya, ganjaran serta surat penghargaan akan diberikan sebagai pengiktirafan kepada individu berkenaan atas usaha pelaporan itu.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan selari dengan surat dikeluarkan pejabat Ketua Setiausaha Negara pada tahun 2011 bertajuk ‘Garis Panduan Pengiktirafan kepada Penjawat Awam Yang Melaporkan Pemberian Atau Penerimaan Rasuah’.

-Bernama

Lihat Komen
ADS