Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jabatan Kesihatan Negeri Sabah adakan langkah kawalan cegah polio merebak
Diterbitkan:  Dec 9, 2019 11:14 PM
Dikemaskini: 3:14 PM

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah sedang menjalankan pemeriksaan kawalan di sekitar tempat tinggal kanak-kanak yang dijangkiti virus polio di Tuaran, dekat Kota Kinabalu, bagi mencegah penyakit itu daripada merebak.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Poon Ming Fung, berkata 646 individu telah diperiksa setakat 5 Disember lepas dan tiada individu lain yang dikesan mengalami gejala acute flaccid paralysis (AFP) iaitu proksi kepada penyakit polio myelitis di kawasan sekitar kes berkenaan.

Beliau berkata siasatan bagi mengenal pasti punca jangkitan masih diteruskan termasuk pengambilan sampel pengesanan najis dari kontak rapat kanak-kanak di samping sampel-sampel di persekitaran kawasan berkenaan bagi mengesan kehadiran virus itu.

"Pemberian imunisasi tambahan di kawasan tempat tinggal kes dibuat dan akan diperluaskan ke kawasan yang berisiko bagi memastikan penularan terhenti," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Poon berkata JKN juga menjalankan pemantauan kehadiran virus polio melalui sampel air kumbahan di enam loji yang terpilih namun tiada virus dikesan dalam sampel berkenaan, dan penduduk setempat juga dinasihatkan agar segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala AFP.

Semalam Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan memaklumkan seorang bayi tiga bulan disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1) semasa dirawat di Unit Rawatan Rapi hospital pada 6 Dis lepas, kira-kira 27 tahun selepas Malaysia bebas daripada virus polio.

-Bernama

Lihat Komen
ADS