Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Seorang kerani operasi syarikat luar pesisir mengalami kerugian RM230,000 selepas ditipu ‘teman cinta sejatinya’.

Ketua Polis Labuan Supt Muhamad Farid Ahmad berkata wanita berusia 30 tahun itu termakan dengan kata-kata manis daripada seorang lelaki ‘bakal suami' selepas mereka berkenalan sejak 2017 menerusi aplikasi WeChat.

Muhamad Farid berkata berdasarkan siasatan awal, suspek seorang lelaki berumur 27 tahun dari Kuala Penyu, Sabah, dan mendakwa dirinya seorang juruterbang AirAsia selain ahli perniagaan.

Katanya suspek berjanji akan mengahwini mangsa.

“Bagaimanapun, suspek memberitahu wanita itu dia menghadapi masalah kewangan dan memerlukan bantuan mangsa,” katanya kepada Bernama.

Muhamad Farid berkata tanpa curiga, mangsa memutuskan untuk membantu suspek dan membuat beberapa transaksi perbankan dengan berjumlah keseluruhan RM230,000 ke akaun suspek.

Bagaimanapun, tidak lama selepas menerima wang berkenaan, suspek memutuskan perbualan WeChat mereka membuatkan mangsa menyedari telah ditipu dan bertindak membuat laporan polis pada Ahad lepas.

Suspek kemudian ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial diketuai oleh ASP Haslinah Hassan dengan bantuan orang awam pada 2.05 petang hari yang sama di Kompleks Ujana Kewangan.

Suspek kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan akan didakwa di mahkamah Jumaat ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS