Paling Popular
Terkini

Muhammad Yusoff Rawther kembali ke ibu pejabat polis persekutuan Bukit Aman untuk disoal siasat selepas menghabiskan hampir lapan jam disoal oleh polis di Bukit Aman semalam.

Media yang menanti di luar bangunan ibu pejabat polis Bukit Aman hari ini melihat Yusoff hadir bersama seorang wanita, yang dipercayai anggota keluarganya.

Bagaimanapun, peguamnya Haniff Khatri Abdulla tidak kelihatan.

Penolong Pengarah utama CID D5 (Bahagian Pendakwaan dan Perundangan) Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan dengan Malaysiakini bahawa Yusoff dan saksi lain akan datang ke Bukit Aman hari ini.

"Kami memanggil dua orang hari ini (termasuk Yusoff). Dia datang lagi kerana kami belum selesai merakamkan kenyataannya," kata Mior.

Walau bagaimanapun, Mior enggan mendedahkan identiti saksi kedua.

Semalam, Yusoff, yang menuduh presiden PKR, Anwar Ibrahim melakukan salah laku seksual terhadapnya, meninggalkan Bukit Aman pada pukul 9 malam selepas disoal siasat.

Polis mencatatkan kenyataannya berikutan laporan yang difailkannya terhadap Ahli Parlimen Port Dickson pada hari Sabtu, beberapa hari selepas dia mengumumkan kepada orang ramai bahawa dia telah membuat akuan berkanun bagi memperincikan peristiwa yang kononnya berlaku pada Oktober tahun lepas.

Yusoff, yang merupakan bekas pegawai penyelidik untuk Anwar mendakwa kejadian yang berlaku pada hari keempat kempen pilihan raya kecil Port Dickson.

Anwar adalah calon Pakatan Harapan dan pemenang pilihan raya kecil itu. Beliau bagaimanapun menafikan tuduhan itu dan laporan polis juga telah dibuat terhadap Yusoff.

Lihat Komen
ADS