Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Ramai AJK Umno Tanah Merah dalam senarai ahli Bersatu'

Sebahagian besar anggota jawatankuasa (AJK) Umno bahagian Tanah Merah, Kelantan, dikatakan turut mendaftar sebagai ahli parti Bersatu.

Menurut sumber, ia berlaku selepas anggota parlimen Tanah Merah, Ikmal Hisham Abd Aziz merangkap ketua Umno bahagian memilih keluar Umno penghujung tahun lalu.

"Selepas Ikmal Hisham keluar Umno, ramai ahli Umno di bahagian itu menyertai parti Bersatu. Saya tidak pasti bagaimana pendaftaran itu dibuat, sama ada secara rela atau sebaliknya.

"Malah, kita dapati penyertaan itu turut melibatkan sebahagian besar AJK Umno Tanah Merah," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan nama Ketua Wanita Bahagian Tanah Merah, Dayang Saniah Awang Hamid, turut disenarai dalam keahlian Bersatu.

Bagaimanapun, Dayang Saniah melalui satu catatan di Facebook menafikan perkara itu.

Sementara itu Pemangku Ketua Bahagian Umno Tanah Merah, Mohd Almidi Jaafar ketika dihubungi mengakui wujudnya pendaftaran bertindih termasuk dalam kalangan AJK bahagian itu.

Susulan itu katanya, semakan dan siasatan terperinci serta tindakan pemutihan sedang diambil.

"Saya sedang buat semakan terperinci dan kita akan minta penjelasan daripada mereka yang terlibat termasuk Dayang Saniah.

"Mereka perlu beri penjelasan untuk dipertimbangkan sama ada boleh kekal sebagai ahli Umno atau tidak. Sebab kita dapat maklumat bahawa ada ahli Umno yang tidak sedar namanya didaftar sebagai ahli Bersatu.

"Jadi kita akan beri peluang kepada mereka. Jika benar mereka berminat untuk memilih Bersatu, kita tiada halangan," jelasnya.

Tambah Mohd Almidi, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada pihak tidak bertanggungjawab mendaftar ahli Umno sebagai ahli Bersatu dan terkesan selepas Ikmal Hisham keluar Umno.

"Sebabnya pendaftaran keahlian Bersatu boleh dibuat secara atas talian dengan beberapa maklumat peribadi seperti nama penuh, nombor kad pengenalan dan alamat.

"Ini juga mungkin kesan apabila Ikmal Hisham keluar daripada Umno atau mungkin ada pihak-pihak tertentu yang mahu mengambil kesempatan," katanya.

Lihat Komen
ADS