Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gobind tiada masalah dikritik, fokus tambah baik komunikasi

Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sentiasa fokus dalam usaha menambahbaik komunikasi dalam semua aspek selain mengatasi apa-apa kekurangan yang ada, kata Menterinya Gobind Singh Deo.

“Bagi saya banyak kerja yang perlu dilaksanakan. Kementerian saya dibahagikan kepada beberapa bahagian termasuk apa yang kita lihat hari ini dengan fokus kepada ekonomi digital dan sebagainya yang kesemuanya bertujuan menaik taraf dan memperbaiki apa yang kita sebut sebagai teknik komunikasi kita.

“Tetapi saya tidak ada masalah dengan kritikan yang ditujukan kepada saya, saya rasa ini adalah proses demokrasi di mana semua dibenar menyuarakan pandangan masing-masing. Pada saya work goes on dan kita perlu bekerja lebih kuat untuk pastikan kita lebih berjaya,” katanya selepas merasmikan 3rd Annual National Malaysian Indian Digital Economy Conference 2019 di Kuala Lumpur, hari ini.

Gobind berkata selaku menteri dan pemimpin, beliau perlu mendengar apa jua kritikan yang dikemukakan untuk memastikan kejayaan yang lebih lagi.

Beliau mengulas kenyataan seorang anggota perwakilan Amanah dari Sarawak pada Konvensyen Nasional Amanah yang mahu Perdana Menteri menggugurkan beliau daripada portfolio Menteri Komunikasi dan Multimedia kerana dilihat gagal mempromosi kejayaan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Mengenai ancaman siber, beliau berkata ia perkara yang menjadi fokus sekian lama lebih-lebih lagi ke arah dunia teknologi dan digital.

“Kita perlu pastikan bahawa selagi kita lihat bagaimana kita boleh mengembangkan rangkaian infra dan sebagainya, kita juga perlu lihat sudut sekuriti.

Gobind berkata daripada sudut penguatkuasaan oleh Polis Diraja Malaysia atau Angkatan Tentera Malaysia, ia perlu dilaksanakan oleh kementerian lain yang terlibat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS