Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Miti jangka pelaburan China melonjak tahun depan

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menjangka pelaburan China ke Malaysia melonjak tahun depan menerusi ‘saluran khas’.

Menterinya Datuk Darell Leiking berkata demikian semasa mengulas laporan media bahawa pelaburan China di Malaysia berkurangan kepada US$1.7 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini daripada setahun lalu.

Beliau berkata saluran khas itu yang diumumkan semasa Belanjawan 2020 akan mempercepatkan pelaburan langsung asing (FDI) dari China.

“Belanjawan 2020 mengenal pasti secara khusus saluran khas untuk menarik lebih banyak pelaburan ke dalam negara ini.

“Walaupun terdapat penurunan sedikit (pelaburan China), ada peningkatan dalam pelaburan lain seperti dari Amerika Syarikat (AS),” katanya pada sidang akhbar bersempena dengan Hari E-Dagang 2019, di Kuala Lumpur, hari ini.

Darell berkata pelaburan dari negara-negara lain meningkat menunjukkan pertumbuhan positif bagi tahun ini.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) baru-baru ini melaporkan pelaburan AS meningkat tujuh kali ganda kepada US$5.9 bilion manakala FDI dari Jepun berjumlah lebih daripada empat kali ganda kepada RM11.81 bilion bagi tempoh Januari-September 2019.

China turun ke kedudukan ketiga di belakang AS dan Jepun.

Pada majlis itu, Darell merasmikan Program Peningkatan Mobiliti-sebagai- Perkhidmatan (MaaS) Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) yang bertujuan memudahkan penggunaan teknologi dan perkhidmatan ke dalam industri mobiliti domestik dan mengukuhkan ekosistem e-dagang.

Beliau berkata usaha itu adalah sejajar dengan sasaran negara untuk meningkatkan perniagaan e-dagang domestik bagi memanfaatkan peluang perdagangan rentas sempadan.

“Ia adalah peluang baharu untuk menjalankan perniagaan dan program ini merupakan kesinambungan kepada banyak inisiatif sedia ada yang dipacu kerajaan untuk memangkinkan pembangunan keusahawanan,” katanya.

Sebanyak sepuluh usahawan teknologi menggunakan MARii MaaS untuk meningkatkan pembangunan ekosistem teknologi e-dagang dalam semua aspek industri mobiliti.

MARii MaaS adalah berkaitan tentang lima bidang tumpuan utama - Konsep Perkongsian, Pengangkutan Multimodal, E-Pembayaran, Kehidupan Terhubung dan Telematik.

- Bernama

Lihat Komen
ADS