Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Dua pekerja restoran nasi kandar terkenal di Bukit Jambul, dekat George Town, diremah tujuh hari selepas ditahan polis semalam kerana disyaki membuat laporan palsu kononnya disamun dua lelaki menaiki motosikal.

Dalam kejadian itu mereka mendakwa dua lelaki terbabit melarikan wang hasil kutipan restoran itu sebanyak RM122,555.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Soffian Santong, berkata seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga India itu masing-masing berusia 40 dan 52 tahun.

Katanya seorang daripada mereka bekerja sebagai juruwang dan seorang lagi juruaudit restoran terbabit dan direman sehingga 16 Dis ini.

"Siasatan lanjut kes itu masih dijalankan dan kami akan melengkapkan kertas siasatan secepat mungkin sebelum menyerahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya," katanya hari ini.

Dalam kejadian semalam, kedua-dua lelaki itu membuat laporan polis kononnya wang kutipan selama tiga hari restoran tempat mereka bekerja dirompak dua lelaki menaiki sebuah motosikal di Lebuh Nipah 2, Sungai Nibong, pada 12 tengah hari.

Mereka mendakwa dua lelaki memakai vest tertera tulisan dan cop polis serta mengaku sebagai polis bertindak mengacukan pisau serta meletakkan pistol di bahagian perut pekerja tersebut ketika mereka menaiki sebuah motosikal untuk ke bank bagi memasukkan wang ke akaun syarikat.

Namun, hasil soal siasat polis ke atas kedua-dua lelaki itu mendapati keterangan mereka mencurigakan sebelum. Akhirnya setelah diselidiki dua pekerja tersebut mengaku kejadian berkenaan hanya rekaan semata-mata.

Mereka memaklumkan wang RM122,555 itu sebenarnya ada dalam sebuah kereta Perodua Kancil yang disembunyikan dan kesemua duit tersebut berjaya ditemui polis.

- Bernama

Lihat Komen
ADS