Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP PKR tetap setuju isytihar harta walau bimbang keselamatan keluarga

Sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Edmund Santhara Kumar menghantar keluarganya ke luar negara kerana bimbang beliau mungkin dipenjarakan jika dipilih sebagai anggota parlimen Segamat sekiranya BN masih berkuasa.

Rancangan awalnya adalah supaya isteri dan tiga anaknya tinggal di luar negara selama setahun.

Bagaimanapun, 18 bulan selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan, Santhara dan isterinya masih memikirkan keadaan tidak selamat untuk anak-anaknya pulang ke negara ini.

Beliau bimbang mengenai keselamatan diri dan keluarganya berikutan gesaan perisytiharan harta oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bermula Nov 2018. 

Santhara sebelum ini dilabel sebagai anggota parlimen paling kaya dengan jumlah aset bernilai RM132.83 juta setakat Mac.

Beliau berulang alik ke luar negara sekali sekala untuk bertemu keluarganya.

Apabila anak-anaknya pulang, Santhara sangat bimbang keselamatan mereka hingga enggan membiarkan mereka terlepas daripada pandangannya walaupun hanya ke pusat membeli belah.

Santhara mendakwa terpaksa mengubah gaya hidup kerana berasa tidak lagi selamat walaupun ketika memakan roti canai di siang hari.

Dalam satu temubual dengan Malaysiakini, Santhara juga berkata beliau telah menolak cadangan pelaburan bernilai antara RM200 juta hingga RM100 juta kerana mahu 'menutup' perniagaannya di Malaysia.

Selain itu Santhara juga berkata ramai orang datang kepadanya untuk meminta derma dan sumbangan.

“Sebelum ni, orang gembira apabila saya beri RM1,000 tetapi sekarang bila saya berikan jumlah yang sama dari wang peribadi saya, mereka kata 'kamu kedekut’,” katanya.

"Jika rakan sekolah lama saya ajak saya minum kopi, selalunya ia akan akhirnya berkenaan wang,” katanya.

Situasi bertambah buruk apabila terdapat individu menelefon untuk mengancam menculik anak-anaknya selepas menolak permintaan mereka, keluh Santhara.

"Orang ramai menelefon saya pada waktu malam dan minta wang daripada saya, saya katakan tidak dan mereka kata mereka boleh culik anak saya dalam masa enam bulan lagi," katanya.

Menurut Santhara, beliau tidak melaporkan kepada polis kerana aduannya sebelum ini juga tidak diselesaikan. 

Katanya, orang ramai tidak faham bahawa aset, termasuk hartanah yang dibeli telah meningkat nilai harganya.

Beliau berfikir untuk meletak jawatan tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana tindakan tersebut akan menjurus kepada pilihan raya kecil.

Tidak lama selepas PH mengambil alih kerajaan, SPRM bertemu anggota parlimen berhubung pengisytiharan harta.

Mereka diberitahu hanya aset anggota parlimen di peringkat pengurusan peru diisytiharkan kerana anggota parlimen biasa tidak berurusan kontrak kerajaan.

"Bagaimanapun, ia diputuskan bahawa aset semua wakil rakyat kerajaan akan didedahkan kepada umum," katanya.

Tanpa menamakan mana-mana individu, Santhara berkata anggota parlimen lain turut bimbang mengenai keselamatan ahli keluarga dan diri mereka.

Meskipun menghadapi kesulitan dan gangguan sedemikian, Santhara menegaskan amalan perisytiharan aset mesti diteruskan, tetapi dengan beberapa pengubahsuaian.

"Apa tujuan perisytiharan aset? Untuk menghentikan penyalahgunaan jawatan mereka untuk tujuan mengumpulkan kekayaan," katanya.

Oleh itu, beliau mencadangkan anggota parlimen terus mengisytiharkan semua aset kepada kerajaan dan SPRM, tetapi hanya sebahagian daripada maklumat, iaitu seperti aset tambahan daripada hari mereka dipilih - untuk tatapan umum.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS