Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis soal Syukri berhubung pergaduhan di Kongres AMK
Diterbitkan:  Dec 10, 2019 9:41 PM
Dikemaskini: Dec 11, 2019 1:35 AM

Polis telah menyoal siasat Setiausaha Pemuda PKR (AMK), Ahmad Syukri Che Ab Razab berhubung pergaduhan yang berlaku di kongres sayap parti itu Jumaat lalu.

Syukri berkata, beliau dipanggil untuk memberi keterangan berhubung "rusuhan" berkenaan di Ibu Pejabat Polis Melaka di Bukit Beruang dari jam 2 hingga 4 petang tadi. 

Kongres AMK Jumaat lalu menyaksikan beberapa insiden pergaduhan selepas sekumpulan ahli AMK, termasuk bekas pengerusi tetapnya, Mizan Adli Mohd Noor dihalang daripada memasuki dewan di mana kongres itu berlangsung.

Dalam satu kenyataan, Syukri berkata kekecohan berlaku apabila terdapat individu yang tidak sepatutnya hadir tetapi berkeras ingin memasuki dewan hingga menyebabkan kekesakan di pintu masuk utama.

Selain itu katanya terdapat juga individu yang tidak mematuhi kod etika pemakaian yang mewajibkan memakai baju Melayu.

Bagaimanapun, Malaysiakini menyaksikan terdapat pemuda- pemuda memakai t-shirt berwarna hitam dibenarkan berada dalam dewan sebagai pemerhati.

Rasa tidak puas hati dengan pemuda berpakaian hitam itu dipercayai menjadi punca perkelahian tengah hari Jumaat itu.

Pergaduhan yang merebak di luar Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka itu menyebabkan sekurang-kurangnya dua cedera, selepas batu turut didakwa dilemparkan.

Beberapa pemuda berpakaian hitam itu memberitahu Malaysiakini mereka dijanjikan bayaran untuk menghadiri kongres berkenaan.

Ketika dihubungi, Syukri berkata, polis tidak menyoal beliau mengenai kehadiran pemuda berpakaian hitam berkenaan kerana tidak berminat dalam aspek-aspek politik di sebalik kejadian tersebut.

Sementara itu dalam kenyataannya, Syukri berkata pihaknya telah membuat laporan polis berhubung penularan satu tangkap layar perbualan seorang pemimpin kanan AMK yang menunjukkan ada usaha untuk mengupah kumpulan tertentu bagi mencetuskan kekecohan di Kongres tersebut.

Walaupun tidak menyebutkan nama, ia dipercayai merujuk kepada Timbalan Ketua AMK, Hilman Idham. 

Tangkap layar itu mendakwa Hilman telah mengupah 30 individu untuk mengawal kongres PKR.

Timbalan ketua AMK itu menafikan dakwaan tersebut dengan mengatakan beliau bukan penganjur dan tidak mempunyai keperluan untuk melantik petugas keselamatan.

"Buat apa saya mahu mengupah pasukan keselamatan? Kami adalah kerajaan yang memerintah. Kita boleh mendapatkan bantuan daripada Rela atau polis untuk bantuan," katanya kepada Malaysiakini.

Laporan tambahan oleh Annabelle Lee

Lihat Komen
ADS