Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lelaki cedera ditembak lepas cuba rempuh polis

Seorang lelaki tempatan cedera terkena satu das tembakan apabila cuba melarikan diri daripada ditahan polis selepas berada dalam keadaan mencurigakan di sebuah kawasan tempat letak kereta Kem Batu Kantonmen Jalan Ipoh, Jinjang, semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP S Shanmugamoorthy Chinnah berkata anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul yang bertindak atas maklumat awam telah mendekati suspek berumur sekitar 30-an itu.

“Dalam kejadian pada kira-kira pukul 6.30 petang, suspek menaiki kereta jenis Mazda CX-5 cuba melarikan diri selepas anggota memperkenalkan diri sebagai pegawai polis.

"Suspek terus bertindak mengundurkan kereta dalam keadaan laju dan berbahaya.

“Polis kemudian bertindak menembak tayar kenderaannya namun suspek terus meluru hingga menemui satu jalan mati," katanya dihubungi Bernama.

Beliau berkata suspek kemudian telah mengundurkan kenderaan sekali lagi dan bertindak merempuh dua anggota di situ namun tindakan itu berjaya dielak sehingga menyebabkan kedua-dua mereka jatuh dari motosikal peronda masing-masing.

“Suspek kemudian melanggar sebuah kenderaan awam di situ. Polis telah memberi amaran kepada suspek untuk memberhentikan kenderaan namun dia enggan dan satu das tembakan telah dilepaskan ke arah cermin penumpang hadapan sebelah kanan,” katanya.

Siasatan awal polis mendapati tembakan telah mengenai lengan tangan kanan menyebabkan suspek memberhentikan kereta.

"Hasil semakan awal mendapati suspek mempunyai 11 rekod lampau dan dua rekod dikehendaki polis selain mendapati kenderaan yang diguna dilaporkan dicuri pada tahun ini di kawasan Putra Heights.

"Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan dia dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat hari ini sementara kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan (cuba bunuh) dan 186 Kanun Keseksaan (menghalang penjawat awam).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS