Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Obama: Pemimpin perlu tahu cara uruskan konflik nilai

Pemimpin perlu menerima kenyataan bahawa kadang-kadang terdapat konflik nilai dalam masyarakat mereka dan mereka perlu berusaha untuk mendamaikannya, kata Barack Obama.

Bekas presiden Amerika Syarikat (AS) berkata kadangkala, ia bukan tentang siapa yang betul atau siapa yang salah, tetapi tentang perdamaian.

"Saya fikir penting untuk menyedari yang kadang-kadang terdapat konflik nilai.

"Pada satu sisi agama seseorang itu perlu dihormati. Tetapi bagaimana jika agama itu sebenarnya mengatakan bahawa wanita tidak patut dilayan secara saksama berbanding lelaki?

"Sekarang anda mempunyai konflik nilai. Jika anda seorang pemimpin dalam masyarakat itu, bagaimanakah anda menguruskannya? Saya fikir salah satu perkara yang anda semua boleh lakukan sebagai pemimpin adalah untuk menerima bahawa kadang-kadang, memang terdapat percanggahan.

"Bukan hanya (tentang) yang betul dan yang salah, kadangkala kedua belah pihak yang betul itu yang anda perlu damaikan. Atau dua pihak salah yang anda perlu uruskan," kata bekas presiden semasa ucapannya pada sidang pleno program anjuran Yayasan Obama di Kuala Lumpur hari ini.

Program "Pemimpin: Asia Pasifik" menarik kehadiran 200 pemimpin yang baru meningkat naik dari negara-negara di rantau ini untuk inisiatif sokongan dan latihan selama satu tahun.

Obama menjawab soalan moderator majlis, Maya Soetoro Ng, yang juga adik perempuan satu ibu dengannya, mengenai bagaimana pemimpin muda boleh menggunakan kepelbagaian mereka sebagai suatu kekuatan.

Maya yang juga ahli politik parti Demokrat di Indonesia, berkata para pemimpin juga perlu belajar menerima kenyataan bahawa orang dan budaya bermula dari tempat-tempat yang berbeza.

Kata Obama, tidak wajar menjangkakan mereka akan berkongsi cara berfikir yang sama, sekurang-kurangnya tidaklah dengan serta-merta.

Mereka yang tidak berkongsi cara yang sama dalam melihat sesuatu perkara tidak secara automatik menjadikan mereka orang yang tidak baik, jelasnya lagi.

"Saya masih ingat ketika saya bekerja sebagai penggerak kegiatan masyarakat pada sekitar usia anda, saya dapati bahawa beberapa orang yang saya sayangi, adalah pemimpin yang hebat, telah melakukan kerja yang mengagumkan membantu memperbaiki nasib komuniti mereka.

"Tetapi bila anda bercakap dengan mereka mengenai komuniti LGBT, mereka akan mengatakan perkara-perkara yang benar-benar salah dari perspektif saya. Hal-hal salah faham.

"Dan itu tidak secara automatik menjadikan mereka orang-orang yang jahat. Tetapi itu bermakna saya perlu mengatakan kepada mereka bahawa 'lihatlah, idea-idea yang anda sampaikan dalam menunjukkan kebencian terhadap kumpulan itu tidak konsisten dengan apa yang anda beritahu saya bahawa anda percaya dengan keyakinan anda terhadap ajaran Jesus. Jadi mari kita bercakap mengenai perkara ini," katanya.

Obama mengakui mencabar idea-idea sebegitu berakhir dengan beliau kehilangan beberapa orang kawan.

"Pada waktu tertentu, anda perlu berasa selesa dengan fakta bahawa masing-masing orang bermula dari tempat yang berbeza, budaya yang bermula di tempat berbeza.

"Dan sekiranya anda sedang melakukan kegiatan di kawasan luar bandar, anda tidak boleh menjangkakan bahawa orang akan berfikir dengan cara yang sama sebagaimana orang-orang di bandar besar akan berfikir," katanya lagi.

Bagaimanapun, Obama, yang berkhidmat sebagai presiden ke-44 AS selama dua penggal dari tahun 2009 hingga 2017, tidak menyatakan atau merujuk kepada mana-mana negara dalam ucapannya.

Lihat Komen
ADS