Samy: Kos pembinaan LPT2 meningkat RM400 juta
Kos pembinaan Lebuhraya Pantai Timur fasa dua (LPT2) yang telah diubah jajarannya kini meningkat kepada RM2.1 bilion, RM400 juta lebih tinggi dari kos asalnya,kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Samy Vellu.
Kos pembinaan Lebuhraya Pantai Timur fasa dua (LPT2) yang telah diubah jajarannya kini meningkat kepada RM2.1 bilion, RM400 juta lebih tinggi dari kos asalnya,kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Samy Vellu.
"Kos asal pembinaan LPT fasa dua ini ialah RM1.7 bilion. Bagaimanapun disebabkan JKR terpaksa membuat ukuran, ujian tanah serta reka bentuk baru terhadap LPT2 itu, kos pembinaannya akan bertambah kepada RM2.1 bilion. Tambahan pula harga bahan-bahan pembinaan seperti bitumen dan sebagainya juga meningkat," katanya.
Bercakap kepada media selepas merasmikan Konvensyen MIC Terengganu di Kuala Terengganu hari in, Samy Vellu berkata, LPT2 juga dijangka siap pada pertengahan 2009, lewat daripada jadual asal pada 2008.
Beliau berkata kelewatan itu disebabkan Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu membuat ukuran, ujian serta reka bentuk baru terhadap jajaran lebuh raya itu setelah kerajaan pusat bersetuju dengan permohonan kerajaan Terengganu supaya jajaran LPT2 dipinda.
Samy Vellu berkata pindaan jajaran LPT2 itu menyebabkan pertambahan jarak sejauh 11km daripada jarak asal 174km.
Menurut laporan Bernama, setakat ini 10 peratus kerja-kerja penawaran tender dan reka bentuk lebuh raya tersebut telah siap.
Menurut Samy Vellu lagi, tender bagi dua pakej iaitu Pakej 11 dari Telemong ke Bukit Petiti serta Pakej 12 dari Bukit Petiti ke Kampung Gemuroh dibuat bulan lepas dan pembinaannya dapat dimulakan tidak lama lagi.
Beliau berkata bagi pakej 11 sejauh 5.9km, pembinaannya akan dilakukan oleh syarikat GPQ-Bukit Putri membabitkan kos sebanyak RM57.962 juta dan dijangka siap pada 12 November 2007.
Kos pembinaan
Bagi pakej 12 yang melibatkan kos pembinaan sebanyak RM97.780 juta sejauh 3.3km pula, kontraktor yang dianugerahkan projek itu ialah syarikat TSR Bina Sdn Bhd dan ia dijangka siap pada Oktober 2008, kata Samy Vellu.
"Segala urusan tender yang membabitkan kesemuanya 12 pakej dijangka siap pada awal tahun depan dan semua urusan pengambil alihan tanah pula dijangka selesai pada pertengahan 2007," katanya.
Beliau berkata pakej tiga hingga sembilan, yang terlibat dalam pindaan terhadap jajaran baru LPT2 itu, kini diperingkat reka bentuk manakala pakej 1A, 1B dan 2 pula dalam penilaian tender.
"Pakej 1C yang membabitkan reka bentuk lebuhraya itu sudahpun siap," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau menyarankan masyarakat India di Terengganu berusaha memajukan diri dalam sektor pertanian yang menjanjikan masa depan yang cerah.
Sebagai contoh, katanya sebuah tapak untuk mewujudkan Taman Agroteknologi yang boleh menggabungkan aspek pertanian, penyelidikan dan pelancongan boleh disediakan dengan kerjasama kerajaan negeri dan sektor swasta.

