Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
COO produksi filem didenda conteng dinding tiang LRT

Seorang ketua pegawai operasi warga Jerman, di sebuah syarikat produksi filem didenda RM2,000 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah menconteng dinding tiang trek Transit Aliran Ringan (LRT), minggu lepas.

Simon Bethle, 31, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Mengikut pertuduhan, Bethle didakwa melakukan khianat dengan menconteng dinding tiang di LRT Stesen Universiti, Brickfields, di sini pada 1 pagi, 10 Dis lepas.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran bagaimanapun, lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman yang ringan.

“Saya memohon maaf atas tindakan yang dilakukan dan mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kesalahan berkenaan,” katanya yang membuat rayuan dalam bahasa Inggeris.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS