Peguam Haniff Khatri Abdulla hari ini berkata anak guamnya, Muhammed Yusoff Rawther, bersetuju menjalani ujian poligraf atau ujian pengesan pembohongan untuk membantu siasatan polis terhadap dakwaan salah laku seksual membabitkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

"Anak guam saya telah mengesahkan dengan saya semalam bahawa untuk membantu polis dalam melaksanakan siasatan yang adil dan menyeluruh terhadap laporan polis pada 7 Disember, beliau (Yusoff) sanggup dan bersedia menjalani ujian poligraf pada bila-bila masa, tarikh dan tempat yang akan ditentukan oleh pihak polis, "kata Haniff dalam kenyataan.

Beliau mengulas laporan FMT pada Jumaat lalu yang memetik sumber polis bahawa ujian poligraf adalah antara pilihan yang sedang dipertimbangkan.

Sumber itu juga dilaporkan berkata kaedah siasatan  kali ini "kelihatan berbeza" daripada kes-kes salah laku seksual sebelum ini melibatkan pemimpin PKR itu termasuk kes Liwat 2 di mana dia dituduh meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Haniff berkata Yusoff sedar bahawa hasil ujian poligraf itu akan diputuskan oleh hakim di mahkamah.

"Namun demikian, beliau bersedia untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak polis bagi membantu mereka membuat kesimpulan penyiasatan mereka dengan adil dan meyakinkan," kata Haniff.

"Yusoff juga sedar sama seperti ujian forensik lain, tiada peruntukan undang-undang yang memperuntukkan mengenai pelaksanaan ujian poligraf dalam siasatan jenayah.

"Tetapi dia percaya bahawa dengan adanya teknologi sedemikian di bawah bidang kuasa kita perlu dimasukkan untuk digunakan dalam siasatan ini untuk menyokong tuduhan itu," kata Haniff.

"Kesimpulannya, Yusoff berharap permintaan ini akan mendapat alu-aluan daripada pihak polis," katanya.

Dalam Akuan Bersumpah bertarikh 19 Nov, Yusoff mendakwa kejadian itu berlaku di kediaman Anggota Parlimen Port Dickson berkenaan di Segambut pada 2 Okt 2018.

Beliau mendakwa kejadian itu berlaku pada hari keempat kempen pilihan raya kecil Port Dickson. 

Anwar ketika itu merupakan calon Pakatan Harapan dan memenangi pilihan raya kecil berkenaan. 

Anwar kemudiannya menafikan dakwaan tersebut.