Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kerjasama antara Umno dan PAS melalui Muafakat Nasional perlu direalisasikan melalui kerajaan campuran di negeri yang ditadbir kedua-dua parti itu.

Perkara itu dilontarkan oleh bekas timbalan menteri besar Kelantan, Mohd Rozali Isohak, yang melihat ia akan memperkukuhkan lagi kerjasama antara Umno dan PAS menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Mengakui bahawa perpaduan dalam politik adalah mudah di mulut tetapi mengakui ia sukar dilaksanakan.

"Semolek-moleknya wujudkan kerajaan campuran yang akan memperlihatkan kerjasama sebenar antara kedua-dua pihak. Barulah nampak bekerjasama.

"Yang terbaik wujudkan sekarang, tetapi masalahnya dalam politik ini mesti ada sedikit sebanyak rasa 'tamak'. Kita dalam politik ini kena ada sikap baik, rela berkorban, tamak pun kena ada dan jahat pun kena ada.

"Ibarat kebun pisang kita usaha seorang, takkan kita nak bahagi (hasil) dengan orang lain. Tunggulah lepas PRU. Sebab dalam politik ini kalau ada sikap baik sahaja, tidak akan berjaya," katanya kepada Malaysiakini, di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian program Raikan Cinta Anda Seperti di Rumah sendiri anjuran Pertubuhan Amal Kebajikan Anak Melayu Kelantan (Peka).

Sebagai rekod Mohd Rozali adalah antara pemimpin Umno Kelantan yang menyertai Semangat 46 (S46) bersama Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau memenangi PRU pada 1990 bagi dewan undangan negeri (DUN) Dabong dan dilantik menjadi timbalan menteri besar di bawah pentadbiran kerajaan PAS dan S46 selama enam tahun.

Sementara itu Mohd Rozali berkata, dengan wujudnya kerajaan campuran juga boleh dikembalikan semula jawatan seperti dua orang timbalan menteri besar dan dibahagikan bagi jawatan exco.

"Perkara ini boleh diwujudkan dan suatu masa dahulu pernah berlaku. Kita dalam parti politik malah perlembagaan juga boleh diubah.

"Umno dan PAS juga pernah berada dalam satu kerajaan bersama suatu masa dahulu, jadi boleh dilaksanakan. Cuma terserah kepada kepimpinan masing-masing," katanya yang juga penaung Peka.

Dalam perkembangan sama Mohd Rozali turut menyentuh mengenai kesan kerjasama kedua-dua parti itu juga membolehkan PAS menguatkan pengaruh.

"Melalui Muafakat Nasional ini PAS akan mendapat pengaruh bukan sahaja di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah, sebaliknya di negeri-negeri lain seperti termasuk Johor.

"Ia bergantung juga bagaimana kerjasama itu direalisasikan khususnya berdepan PRU akan datang," katanya.

Lihat Komen
ADS