Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis panggil beberapa ahli politik berhubung kes Anwar

Polis akan memanggil beberapa individu lain termasuk ahli politik sebelum melengkapkan siasatan terhadap dakwaan salah laku seks membabitkan presiden PKR Anwar Ibrahim, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Huzir Mohamed.

"Setakat ini polis telah merekodkan keterangan daripada lapan saksi bagi membantu siasatan berhubung kes ini.

"Selepas ini, ada beberapa saksi lain yang kita perlu panggil untuk merekodkan kenyataan mereka," katanya pada sidang akhbar di Shah Alam hari ini.

Huzir merujuk kes melibatkan bekas kakitangan Anwar, Muhammed Yusoff Rawther yang mendakwa menjadi mangsa salah laku seks ahli politik berkenaan.

Kejadian itu didakwa berlaku di kediaman Presiden PKR itu di Segambut pada 2 Oktober tahun lepas.

Yusoff membuat Akuan Bersumpah bagi memperincikan dakwaan beliau, sebelum membuat laporan polis pada 7 Dis bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan berkenaan.

"Ya, mereka termasuk ahli-ahli politik," katanya ketika ditanya sama ada terdapat ahli politik di kalangan mereka yang akan dipanggil.

Pegawai kanan polis itu bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut termasuk identiti mereka yang dikehendaki.

Dalam perkembangan lain, Huzir memberitahu pemberita bahawa polis juga memanggil 19 pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kematian Teoh Beng Hock pada 2009.

Setakat ini, beliau berkata, polis telah mengambil keterangan daripada sejumlah 10 orang.

"Kami telah mengenal pasti 19 pegawai SPRM, dan akan memanggil mereka untuk merekodkan kenyataan mereka.

"Polis juga meminta dokumen-dokumen tertentu mengenai prosedur (SPRM) untuk membantu siasatan kami," katanya.

Teoh, yang merupakan setiausaha politik kepada bekas Adun Selangor, Ean Yong Hian Wah, meninggal dunia selepas terjatuh dari bangunan Plaza Masalam yang menempatkan pejabat SPRM pada 16 Julai 2009.

Polis bulan lalu mengumumkan bahawa mereka telah membuka semula siasatan kes berkenaan.

Mengenai siasatan membabitkan majlis memperingati Perjanjian Damai Hat Yai dan isu kepulangan abu mayat pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, Huzr berkata polis telah mengambil keterangan daripada 14 dan 10 saksi.

Menurut beliau, polis juga sedang menemuramah seorang ahli sejarah bagi mendapatkan maklumat yang diperlukan, selain mendaptkan laporan daripada agensi-agensi seperti Jabatan Kastam dan Pendaftar Pertubuhan.

Sementara itu, mengenai kes lagu Negaraku dinyanyikan dalam bahasa Mandarin dan Bahasa Arab di dua buah sekolah di Negeri Sembilan dan Kedah, Huzir berkata polis akan menjalankan siasatan terhadap dokumen mengenai mata pelajaran Sejarah untuk pelajar Tahun 5.

Dokumen berkenaan dipanggil sebagai 'Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran.

"Kami hampir selesai dalam menyiasat kedua-dua kes ini, dan akan mendapatkan dokumen bagi mata pelajaran Sejarah bagi Tahun 5 untuk membuat analisis, dan kami akan mengemukakan kertas siasatan terus kepada Peguam Negara selepas itu," katanya.

Lihat Komen
ADS