Mangsa banjir berkurang, beberapa PPS di Johor dan Pahang ditutup
Keadaan banjir di Johor dan Pahang semakin pulih dan kebanyakan mangsa dibenar pulang ke rumah masing-masing manakala beberapa pusat pemindahan sementara di negeri berkenaan ditutup.
Di Johor, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 5,651 orang daripada 1,563 keluarga setakat 4.30 petang berbanding 7,944 orang daripada 2,170 keluarga yang direkodkan pada 12 tengah hari.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri Tan Chen Choon berkata Johor Bahru menjadi daerah terkini pulih daripada banjir, menjadikan tujuh daerah iaitu Kluang, Kota Tinggi, Mersing, Batu Pahat, Pontian, Segamat dan Kulai masih terjejas banjir.
“Setakat ini, 32 pusat pemindahan sementara telah ditutup manakala 71 pusat pemindahan sementara masih dibuka,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, lima laluan di Kota Tinggi masih ditutup untuk semua kenderaan berikutan dinaiki air iaitu Kilometer 59 Jalan Johor Bahru-Mersing, Kilometer 70 Jalan Johor Bahru-Mersing, Kilometer 43 Jalan Lok Heng-Mawai, Kilometer 72/73 Jalan Johor Bahru-Mersing dan Jalan Felda Aping Timur.
Di Pahang, Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan sehingga 8 malam tadi hanya tiga daerah iaitu Rompin, Temerloh dan Bera masih dilanda banjir dengan jumlah mangsa yang dipindahkan di 10 pusat pemindahan sementara seramai 1,049 orang daripada 271 keluarga.
Keadaan banjir di Raub pula kembali pulih apabila tiga pusat pemindahan sementara di daerah itu yang menempatkan 66 mangsa daripada 41 keluarga ditutup petang ini.
Setakat ini Rompin masih menjadi kawasan yang teruk terjejas dengan bencana itu dan merekodkan jumlah pemindahan mangsa paling ramai iaitu 1,005 orang daripada 261 keluarga.
Mereka masing-masing ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pianggu iaitu 283 orang daripada 82 keluarga, SK Sarang Tiong (214 orang, 45 keluarga), pusat pemindahan sementara Kampung Setajam (187 orang, 51 keluarga) dan Balai Raya Rekoh (119 orang, 32 keluarga).
Sementara itu, Pusat Kegiatan Ekonomi Orang Asli Bukit Serok masih dihuni 92 orang daripada 21 keluarga, Balai Raya Kampung Denai (49 mangsa, 13 keluarga), Balai Raya Bukit Lepas (33 orang, lapan keluarga) dan Dewan Telok Gading di Tanjung Gemok (28 orang, sembilan keluarga).
Di Temerloh dan Bera pula, masing-masing masih mempunyai sebuah pusat pemindahan sementara iaitu orang daripada empat keluarga menghuni Dewan Orang Ramai Kampung Paya Luas di Temerloh dan Balai Raya Kampung Pasal di Bera menempatkan 25 mangsa daripada enam keluarga.
Angkatan Pertahanan Awam Pahang menerusi kenyataan medianya melaporkan enam sungai di negeri ini sudah berada di paras waspada iaitu Sungai Lepar, Sungai Kuantan dan Sungai Belat di Kuantan, Sungai Tembeling dan Sungai Pahang di Jerantut serta Sungai Triang di Bera.
- Bernama

