Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hari 64: Lembaga pengarah SRC tentukan bagaimana pinjaman RM2b dibelanja - Najib

LANGSUNG | Perbicaraan kes jenayah bekas perdana menteri Najib Razak melibatkan dakwaan penyalahgunaan dana dari SRC International Sdn Bhd masuk hari ke-64 hari ini di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Malaysiakini membawakan anda laporan langsung prosiding.


4.51 petang: Pasukan pembelaan Najib Razak akan membawa saksi baru dalam perbicaraan pada Januari tahun depan.

Perkara itu dimaklumkan peguam Harvinderjit Singh di akhir perbicaraan hari ini.

Bagaimanapun dia tidak menyatakan jumlah saksi itu serta identitinya.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian membenarkan perbicaraan hari ini ditangguhkan.

Pemeriksaan balas pihak pendakwaan terhadap Najib akan bersambung pada pukul 9.30 pagi esok.


4.15 petang: Najib Razak, yang dulu pernah menjadi pengerusi lembaga penasihat SRC International, menafikan bahawa dia pernah dirunding berkenaan bagaimana syarikat itu membelanjakan wang RM2 bilion yang dipinjam.

Ketika pemeriksaan balas dengan DPP V Sithambaram, Najib berkata perkara itu dianggap sebagai urusan operasi yang berada di bawah lembaga pengarah SRC.

"Tidak. Kedudukan saya dalam SRC untuk menentukan perkara-perkara strategik, bukan operasi harian," katanya selepas Sithambaram mengajukan bahawa dia memegang kedudukan istimewa dalam syarikat itu.

Najib juga berkata perkara seumpama itu hanya akan diketahuinya jika lembaga pengarah merujuk kepadanya.

Sithambaram kemudian membangkitkan keterangan bekas pengerusi lembaga pengarah SRC Ismee Ismail sebelum ini, yang mendakwa Najib memberi arahan berkenaan perkara itu kepadanya.

Sithambaram: Ismee kata anda beri mini (pemegang saham) untuk dilaksanakan mereka?

Najib: Tidak.


3.36 petang: Najib Razak memberi keterangan bahawa beliau tidak terlibat dalam hal operasi, seperti pemindahan RM40 juta dari SRC International kepada Ihsan Perdana Sdn Bhd pada tahun 2014.

Ini kerana, kata Najib, beliau menjaga negara ketika itu.

Bekas perdana menteri itu berkata demikian sebagai menjawab DPP V Sithambaram, yang menanyakan mengenai aliran RM40 juta ke Ihsan Perdana yang didakwa tidak dipertikai oleh SRC dan Gandingan Mentari.

Najib: Saya tidak tahu, ia terpulang kepada pengurusan (SRC antara lain). Tanya mereka.

Sithambaram: Anda seorang yang penting (sebagai penasihat SRC International).

Najib: Saya tidak terlibat dalam perkara-perkara operasi kerana saya menjaga negara.


3.12 petang: DPP V Sithambaram menyamakan jawapan Najib Razak di mahkamah hari ini dengan kes terdahulu "kelihatan seperti saya, suara macam saya..".

Sithambaram dipercayai merujuk kes terkenal melibatkan peguam VK Lingam yang didakwa mengatur pelantikan hakim melalui perbualan telefon yang dirakam pada Disember 2001.

Susulan kenyataan Sithambaram itu, Najib dan hadirin lain ketawa.

Sithambaram: Surat itu mempunyai nama anda dengan tandatangan anda?

Najib: Seperti tandatangan saya.

Sithambaram: Bila anda kata seperti itu, (mengingatkan saya) pada kes sebelumnya, "kelihatan seperti saya, suara macam saya".

Dalam inkuiri Suruhanjaya Siasatan Diraja pada 2008, VK Lingam menafikan dirinya merupakan individu yang dipaparkan pada rakaman video dan sekadar berkata "kelihatan seperti saya, suara macam saya".


2.51 petang: Prosiding disambung semula.


12.53 tengah hari: Prosiding berehat untuk makan tengah hari dan akan disambung pukul 2.30 petang.


12.52 tengah hari: Bekas perdana menteri Najib Razak tidak bersetuju dengan cadangan oleh DPP V Sithambaram bahawa derma keluarga diraja Saudi hanyalah cerita untuk menutup kisah sebenar.

Cadangan itu dibuat oleh Sithambaram ketika Najib mengulangi di mahkamah bahawa beliau percaya wang yang dibelanjakannya melalui cek pada tahun 2015 adalah dari derma keluarga diraja Arab Saudi.

Najib mendakwa bahawa dia tidak tahu bahawa wang dalam akaun AmBanknya telah didepositkan di bawah arahan Nik Faisal Ariff Kamil sebagai orang yang diamanahkan untuk menguruskan akaun.

Sithambaram: Bagaimana anda tidak tahu mengenainya?

Najib: Saya menganggap bahawa ada wang dari derma. Saya tidak dimaklumkan sebaliknya.

Sitham: Itu hanya satu cerita untuk tutup kisah sebenar.

Najib: Saya tidak bersetuju


12.24 tengah hari:

Najib Razak memberi keterangan bahawa beliau tidak boleh dipertanggungjawabkan terhadap apa yang berlaku dalam akaun banknya yang diurusakan oleh orang lain.

Bekas perdana menteri itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh DPP V Sithambaram, yang bertanya sama ada tertuduh bertanggungjawab secara peribadi terhadap apa yang berlaku di dalam akaun AmBank berakhir 898, 906 dan 880.

Ketiga-tiga akaun ini memainkan peranan penting dalam kes pendakwaan RM42 juta SRC International terhadap Najib.

Sithambaram: Adakah anda bertanggungjawab secara peribadi untuk urus niaga perbankan anda?

Najib: Saya telah mewakilkan (orang lain untuk menguruskan akaun itu).

Sithambaram: Adakah anda masih bertanggungjawab?

Najib: Jika ada masalah, bagaimanakah saya boleh dipertanggungjawabkan?

Sithambaram: Adakah anda secara peribadi bertanggungjawab walau apa pun orang lain (seperti bekas CEO SRC Nik Faisal Ariff Kamil yang diberi kuasa untuk menguruskan akaun Najib) buat?

Najib: Saya tidak boleh dipertanggungjawabkan jika ada masalah.


11.15 pagi: Mahkamah mendengar dari Najib Razak bahawa hanya orang yang mengendalikan akaun banknya akan dimaklumkan jika penggera berbunyi pada transaksi yang mencurigakan.

Najib berkata demikian ketika disoal oleh DPP V Sithambaram mengenai RM32 juta dalam akaunnya pada 2015, yang bertujuan untuk membayar balik pinjaman dari Permai Binaraya Sdn Bhd dan Putra Perdana Sdn Bhd.

Sithambaram: Jadi jika RM32 juta masuk ke akaun anda, dan keluar dari akaun, itu akan menjadi sesuatu yang akan membunyikan loceng penggera.

Najib: Bagi mereka yang menguruskan akaun saya. Kerana saya tidak menguruskan akaun saya sendiri.


10.35 pagi: Mahkamah menyaksikan tertuduh Najib Razak dan peguam veteran V Sithambaram, yang bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya, bertikam lidah berhubung tandatangan bekas perdana menteri itu pada dokumen yang berkaitan dengan SRC International.

Ia berlaku selepas Najib dilihat enggan memberikan jawapan langsung kepada soalan-soalan Sithambaram, termasuk ketika peguam menimbulkan pertanyaan "ya atau tidak" kepadanya.

Soalan-soalan Sithambaram antara lain menyentuh penafian Najib berhubung tandatangannya pada dokumen SRC International.

DPP memaklumkan kepada Najib bahawa beliau telah mengesahkan perkara itu ketika ditanya oleh SPRM.

Bagaimanapun, Najib menafikannya.

Sithambaram: Apabila anda ditunjukkan salinan (semasa siasatan), anda mengesahkan tandatangan itu tanpa sebarang bantahan pada peringkat itu.

Najib: Pada peringkat itu.

Sithambaram: Jadi selepas duduk di mahkamah dan mendengar pemeriksaan balas oleh peguam anda, anda katakan, ini bukan tanda tangan anda.

Najib: Tidak. Saya tidak bersetuju.


10.12 pagi: Prosiding dimulakan. Najib Razak masuk kandang saksi.

Turut kelihatan di mahkamah, peguam bela utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah.


9.32 pagi: Ketua peguam bela Najib, Muhammad Shafee Abdullah tidak dilihat di dalam mahkamah.

Difahamkan Shafee sedang menghadiri kes jenayah yang berasingan yang melibatkan dirinya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sebelum dia boleh menghadiri kes Najib.


9.10 pagi: Bekas ketua setiausaha perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah dilihat duduk di barisan depan galeri awam.

Beliau sedang menunggu sebutan kes IPIC berkaitan 1MDB terhadap Najib dan dirinya.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan menghadiri sebutan kes IPIC terlebih dahulu sebelum mengangani kes SRC Najib.


9.05 pagi: Bekas perdana menteri Najib Razak dilihat duduk di barisan depan galeri awam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, menunggu prosiding bermula.

Turut kelihatan DPP V Sithambaram.


Pendakwaan dijangka akan menyoal Najib Razak secara terperinci berhubung setiap hujah yang boleh dipertikaikan dalam kenyataan kesaksian bekas perdana menteri itu bagi perbicaraan kes SRC International.

Pada akhir prosiding Rabu lepas, Timbalan pendakwa raya (DPP) V Sithambaram memaklumkan hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengenai pelan pendakwaan selepas Peguam Negara Tommy Thomas selesai pemeriksaan balas awal terhadap Najib.

Tidak seperti pemeriksaan balas awal selama dua hari yang dijalankan oleh Thomas, pemeriksaan balas yang akan dijalankan Sithambaram dijangka akan mengambil masa yang lebih lama.

Hakim sebelum ini membenarkan permohonan pendakwaan untuk menangguhkan tarikh perbicaraan yang pada mulanya ditetapkan pada hari Khamis minggu lalu serta pada hari Isnin dan semalam agar pihak pendakwaan dapat membuat persediaan yang mencukupi.

Semasa menjalani pemeriksaan balas oleh Thomas pada Rabu minggu lalu, Najib memberi keterangan bahawa beliau juga ingin tahu apa yang berlaku kepada RM4 bilion dana yang dipinam SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Pemeriksaan balas Thomas terhadap Najib juga mendedahkan kepada mahkamah bahawa SRC International mula memohon pinjaman berbilion ringgit daripada KWAP pada tahun 2011, beberapa bulan sebelum lembaga pengarah syarikat SRC International dilantik.

Ini merupakan kali pertama Najib akan muncul di khalayak ramai selepas Akuan Berkanun (SD) bekas polis Azilah Hadri diterbitkan oleh Malaysiakini dua hari lalu.

DAlam SD itu, Azilah yang kini menunggu hukuman gantung mendakwa bahawa dia telah diperintahkan oleh Najib untuk membunuh Altantuya Shaariiibuu. Najib menafikan tuduhan itu, dan menyifatkan SD berkenaan sebagai rekaan.

[Berita lanjut menyusul]


Lihat Komen
ADS