Apa status MPKK? soal kerajaan Kelantan
Kerajaan negeri Kelantan ternanti-nanti jawapan daripada Kementerian Luar Pembangunan Luar Bandar berhubung status Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang ditubuhkan di negeri itu sebelum ini.
Ia susulan pengumuman penubuhan Majlis Pembangunan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKK Persekutuan) yang dikatakan akan menggantikan MPKK, pada Oktober lalu.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah berkata, kerajaan negeri sudah menghantar surat kepada kementerian berkenaan sejak dua bulan lalu, namun tiada maklum balas diberikan sehingga kini.
Menurutnya, mengenai penubuhan MPKK Persekutuan ia hanya diketahui melalui kenyataan oleh Pengerusi Felcra, Sazmi Miah dan laporan media.
"Selepas kenyataan (Sazmi) itu kerajaan negeri menghantar surat secara rasmi kepada kementerian dan minta pencerahan apa sebenarnya akan berlaku.
"Tetapi sayangnya sehingga hari ini tiada jawapan rasmi daripada kementerian tentang persoalan kita. Jadi (perkara) ini tidak jelas.
"Tiada masalah dengan penubuhan MPKK Persekutuan kita tak pertikai sebab itu bidang kuasa kementerian. Tetapi apa status MPKK?" soalnya ketika ditemui media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan kerajaan persekutuan memperkenalkan MPKK Persekutuan berkuat kuasa tahu depan, bagi menggantikan MPKK negeri yang sebelum ini turut disertai wakil daripada parti kerajaan negeri.
Sazmi yang juga penyelaras MPKK Persekutuan negeri Kelantan berkata, susulan itu pembentukan MPKK negeri dengan kerjasama antara PH dan kerajaan negeri Kelantan yang dibuat sebelum ini turut terbatal.
Sementara itu Mohd Amar berkata, penubuhan MPKK sebelum ini dibuat secara rasmi dan jika mahu dimansuhkan sekali pun mesti dibuat secara rasmi.
"Jadi sampai hari ini kita tidak terima keputusan rasmi. Kementerian perlu buat penjelasan," katanya.
Ditanya persediaan kerajaan negeri sekiranya MPKK dimansuhkan, anggota dewan undangan negeri (Adun) Panchor itu berkata, pihaknya akan menggunakan sistem lama.
"Kita akan balik asal, sebab penghulu atau ketua kampung pun masih menerima elaun daripada kerajaan negeri. Kita akan balik asal, tiada masalah," kata Mohd Amar.

