Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Ismail Salam meninggal dunia pagi ini selepas pengsan di kediamannya di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam.

Ismail berusia 51 tahun.

Abang allahyarham, Abu Yamin Salam berkata allahyarham disahkan meninggal dunia pada 8.33 pagi selepas pengsan di kediamannya kira-kira 6.30 pagi.

“Jenazah pada masa ini berada di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Bandar Seri Begawan,” katanya.

Jenazah dijangka dibawa pulang ke Kuching, Sarawak untuk dikebumikan.

Ismail, menyertai perkhidmatan awam sebagai pegawai tadbir dan diplomatik di Kementerian Luar pada 1992 dan pernah memegang jawatan Setiausaha Bahagian Eropah dari Januari 2018 sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei.

Allahyarham meninggalkan balu Rosita Ismail dan dua anak Nur Hidayah, 23, dan Haziq, 21 yang sedang menuntut di Hungary.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Ismail.

“Seri Paduka berdua menzahirkan rasa simpati dan sedih kepada keluarga Allahyarham Ismail dan menzahirkan harapan agar keluarganya tabah menghadapi suasana pilu serta dugaan daripada Allah SWT.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dirahmati Allah SWT dan ditempatkan bersama solihin,” menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah pernah bertemu Allahyarham Ismail, yang memegang jawatan itu sejak Februari 2019, ketika lawatan khas Seri Paduka Baginda berdua ke Brunei pada Februari dan Lawatan Negara pada Ogos lepas.

Lawatan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah ke Brunei adalah Lawatan Negara pertama Seri Paduka sejak ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lepas.