Sebanyak 27,103 pasang kasut dan selipar tiruan pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM1.3 juta dirampas dalam serbuan berasingan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya, hari ini.
Ketua Seksyen Siasatan KPDNHEP Putrajaya, Shamsul Nizam Khalil, berkata operasi serbuan bermula pada 11.30 pagi tadi dilakukan di Kawasan Perindustrian Menglembu dan Kawasan Perindustrian Chandan Raya, Ipoh, selepas risikan dijalankan selama dua minggu di lokasi berkenaan.
"Hasil pemeriksaan ke atas premis yang terlibat mendapati ia menjadi tempat mengilang dan tempat penyimpanan (stor) melibatkan pelbagai jenis selipar dan kasut jenama seperti Nike, Gucci, Puma, Levis dan Adidas yang disyaki tiruan," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi serbuan hari ini.
Shamsul Nizam berkata operasi dijalankan enam anggotanya. Dalam serbuan pertama, katanya, mereka menahan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun - yang dipercayai pemilik premis berkenaan - untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata kesemua barang rampasan dipercayai untuk dijual di Perak dan negeri-negeri di kawasan utara itu disita, dan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011.
"Premis yang memproses kasut tiruan dan barangan lain ini dipercayai beroperasi selama lima tahun dan kami sedang menyiasat sama ada aktiviti ini dilakukan individu atau sindiket, yang membekalkan barangan mentah untuk menghasikan barang tiruan," katanya.
Kata Shamsul Nizam lagi bagi kesalahan di bawah akta itu, seseorang pesalah boleh dikenakan denda melebihi RM10,000 bagi setiap barangan yang diletakkan perihal dagangan palsu dan bagi perbadanan tidak melebihi 15,000 bagi setiap barangan.
- Bernama
