Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata penganjuran Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemundak KL) bukan bertujuan mendiskriminasi atau mengasingkan sesiapa, sebaliknya ia berhasrat untuk mencari jalan bagi menangani masalah-masalah yang dihadapi oleh dunia Islam dan ummah.

“Kita bukan mendiskriminasi atau mengasingkan sesiapa. Kita berhasrat untuk bermula secara kecil, dan sekiranya idea, saranan, dan penyelesaian yang dihasilkan boleh diterima dan dibuktikan dapat dilaksanakan, kita harap ia boleh dibawa ke platform yang lebih besar untuk pertimbangan,” katanya.

Dr Mahathir, yang merupakan pengerusi Sidang Kemuncak KL berkata demikian semasa menyampaikan kata-kata aluan di majlis pelancaran persidangan itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Dr Mahathir berkata hampir semua negara-negara Islam dijemput untuk mengambil bahagian dalam sidang kemuncak ini, tanpa mengira peringkat.

Beliau berkata demikian dalam perhimpunan pagi ini yang turut dihadiri oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta lain-lain pemimpin negara Islam seperti Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Iran, Hassan Rouhani.

Dr Mahathir menjelaskan bahawa sidang kemuncak itu dianjurkan bukan untuk berbincang mengenai agama, sebaliknya ia perbincangan mengenai hal ehwal ummah.

“Islam, kaum Muslim dan negara mereka berada dalam krisis, tidak berdaya, tidak layak bagi agama agung ini yang dimaksudkan untuk menjadi yang terbaik bagi umat manusia," kata perdana menteri.

Beliau berkata atas alasan-asalan inilah sidang kemuncak ini dianjurkan, dan setidak-tidaknya para peserta mungkin akan dapat mengenal pasti di mana silapnya, menerusi perbincangan pada sesi sidang ini.

“Malah kita mungkin akan dapat cari penyelesaian, jika bukan untuk menamatkan bencana ini, setidak-tidaknya dapat menyedarkan dunia islam dan ummah keperluan untuk mengenal pasti masalah serta punca-puncanya.

“Memahami masalah dan puncanya dapat memberikan pencerahan kepada kita dalam menuju ke arah cara bagi mengatasi atau mengurangkan kesan bencana yang menimpa ummah,” kata Dr Mahathir.

Terdahulu, beliau bercakap mengenai masalah-masalah yang dihadapi dunia Islam; dengan negara-negara Islam dimusnahkan di serata tempat dan rakyatnya terpaksa melarikan diri untuk mencari perlindungan di negara-negara bukan Islam.

Sebaliknya, beliau berkata negara Islam yang mencetuskan tindakan ganas, dan membunuh mangsa yang tidak bersalah.

“Mereka melakukan ini semua kerana negara mereka sendiri tidak dapat menjamin keselamatan kepada mereka atau berbuat apa-apa bagi mengembalikan tanah yang dirampas oleh pihak lain. Disebabkan kecewa dan marah, mereka bertindak secara ganas tanpa dapat mencapai matlamat mereka,” katanya.

Perdana Menteri berkata mereka cuba membalas dendam, namun apa yang dapat dicapai mereka hanyalah memburukkan agama mereka sendiri dan tindakan mereka hanya mewujudkan rasa gerun semata-mata.

“...dan kini Islamofobia, ketakukan yang sepatutnya, telah merendahkan agama kita di mata dunia, tapi kita perlu tahu bagaimana rasa takut ini timbul, sama ada ia adalah benar; atau semata-mata propaganda penentang kita; atau kombinasi kedua-duanya,” katanya.

Beliau seterusnya berkata dunia Islam juga perlu berhadapan dengan masalah pembunuhan sesama sendiri, perang sivil, kerajaan yang gagal, dan banyak lagi bencana yang membelenggu ummah dan dunia Islam, tanpa sebarang usaha serius diambil bagi mengurangkan, menamatkannya, atau usaha untuk memulihkan agama.

“Kita telah melihat negara-negara yang dimusnahkan oleh Perang Dunia Kedua bukan hanya dapat pulih dalam masa yang singkat, tetapi dapat berkembang dengan pesat untuk menjadi sebuah negara maju, namun beberapa negara Islam lain pula dilihat gagal ditadbir urus dengan baik, apa lagi untuk menjadi sebuah negara yang maju dan sejahtera.

“Adakah agama kita yang menjadi penghalangnya? Adakah Islam menentang kejayaan duniawi dan menjadi sebuah negara maju? Atau umat Islam sendiri menghalang negara mereka daripada diuruskan dengan baik, daripada menjadi sebuah negara maju?

Dr Mahathir berkata semua isu-isu ini boleh dibincangkan di peringkat tertinggi, tetapi buat masa ini sebagai permulaan ia hanya melibatkan beberapa buah negara sahaja.

“Adalah sukar untuk menguruskan keseluruhan negara Islam di dunia, kerana ia akan menjadi keputusan besar yang sukar dikawal, dan penyelesaian yang dicadangkan mungkin tidak dapat dilaksanakan,” katanya.

- Bernama