Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Waktu operasi UTC akan dikaji ikut kesesuaian
Diterbitkan:  Dec 19, 2019 12:09 PM
Dikemaskini: 4:09 AM

DEWAN NEGARA l Kementerian Kewangan akan mengkaji waktu operasi Pusat Transformasi Bandar (UTC) dari semasa ke semasa bersesuaian dengan perubahan dan kemampuan kewangan kerajaan, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Amiruddin Hamzah berkata kajian itu akan mengambil kira beberapa faktor bagi memudahkan rakyat berurusan dengan jabatan atau agensi berkaitan antaranya kos operasi, kesesuaian waktu operasi dengan lokasi sesuatu UTC serta kesesuaian dengan masyarakat setempat.

"Kos operasi mengambil kira kos yang terpaksa ditanggung kerajaan dari segi gaji, elaun dan kemudahan petugas jabatan atau agensi di UTC. Kos juga mengambil kira komponen bayaran sewa ruang pejabat, penyelenggaraan dan utiliti.

"Jumlah kos-kos ini berkadaran langsung dengan tempoh operasi UTC. Kesesuaian waktu operasi berdasarkan lokasi pula mengambil kira kedudukan UTC sama ada ia beroperasi di bangunan tersendiri atau di pusat membeli belah," katanya dalam sesi pertanyaan jawab lisan.

Beliau menjawab soalan Senator Dr Ahmad Azam Hamzah yang ingin tahu sama ada waktu operasi di UTC pada masa ini akan dikaji semula kepada waktu operasi lama mengikut kesesuaian tempat memandangkan waktu urusan sekarang tidak sesuai.

Beliau berkata lokasi bagi UTC seperti di Sabah dan Sarawak turut mempengaruhi waktu operasi pusat tersebut di kedua-dua negeri berkenaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS