Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Goldman mungkin mengaku salah, bayar denda AS$2b selesai siasatan 1MDB

GLOBAL |  Goldman Sachs Group Inc sedang berunding dengan kerajaan Amerika Syarikat dan pihak berkuasa kawal selia negara itu untuk kemungkinan membayar sehingga AS$2 bilion dan mengaku bersalah bagi menyelesaikan penyiasatan terhadap peranannya dalam skandal rasuah Malaysia, menurut sumber yang biasa dengan perkara itu.

Bank dan pegawai AS telah membincangkan kesepakatan di mana anak syarikat Goldman di Asia akan membuat pengakuan bersalah melanggar undang-undang antirasuah AS, lapor Wall Street Journal pada hari Khamis.

Perbincangan ini juga melibatkan Goldman memasang sistem pemantauan bebas untuk mengawasi dan mencadangkan perubahan terhadap prosedur pematuhannya.

Terlibat dalam perbincangan adalah tiga pengawal selia persekutuan - Jabatan Keadilan (DOJ), Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS (SEC) dan Rizab Persekutuan (bank pusat AS) dan Jabatan Perkhidmatan Kewangan New York, kata sumber.

Dalam satu kenyataan, bank itu berkata rundingan penyelesaian sedang berjalan dan Goldman Sachs akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa kawal selia.

SEC enggan mengulas lanjut, manakala wakil bagi pihak kawal selia lain tidak segera memberi maklum balas terhadap permintaan untuk mendapatkan penjelasan.

Suatu penyelesaian dijangka dapat diumumkan pada akhir bulan Januari, kata sumber-sumber yang biasa dengan perundingan itu.

Kerajaan bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak telah menubuhkan syarikat pelaburan negara 1MDB pada 2009, dan Jabatan Keadilan AS (DOJ) menganggarkan AS$4.5 bilion telah diselewengkan oleh pegawai atasan syarikat itu dan rakan-rakan mereka antara 2009 dan 2014.

Goldman telah disiasat oleh pihak berkuasa kawal selia di sekurang-kurangnya 14 negara, termasuk Amerika Syarikat, Malaysia, Singapura dan lain-lain, atas peranan penajaan jaminan dan apa yang diketahui atau tidak tahu pada masa transaksi itu.

Pada bulan November 2018, Jabatan Keadilan AS (DOJ) memfailkan tuduhan jenayah terhadap dua bekas jurubank Goldman Sachs yang terbabit dengan skandal itu, Tim Leissner dan Roger Ng.

Menurut DOJ, Goldman memperoleh AS$600 juta sebagai yuran kerja dengan 1MDB. Leissner, Ng dan yang lain menerima bonus besar berkaitan dengan pendapatan tersebut.

Bank itu secara konsisten cuba menjauhkan diri daripada skandal 1MDB, mengatakan Leissner dan Ng menyembunyikan kegiatan jenayah mereka daripada pengetahuan pihak pengurusan bank.

Leissner mengaku bersalah atas pertuduhan terhadapnya tahun lepas. Ng pula mengaku tidak bersalah atas tuduhan pada bulan Mei dan kesnya sedang menunggu di mahkamah persekutuan di Brooklyn.

Jurucakap Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad dan peguam negara Malaysia tidak segera memberi maklum balas terhadap permintaan untuk mendapatkan ulasan.

(Laporan oleh C Nivedita di Bengaluru dan Elizabeth Dilts Marshall di New York; Disunting oleh Saumyadeb Chakrabarty dan Steve Orlofsky)

- Reuters

Lihat Komen
ADS