Keluarga yang anak mereka diembak mati di Batu Arang memutuskan untuk memulaukan inkues yang ditubuhkan bagi menyiasat kejadian itu dan sebaliknya menuntut anggota polis yang bertanggungjawab didakwa atas tuduhan membunuh.

Bercakap kepada portal The Malaysian Insight, peguam P Uthayakumar berkata, keluarga mangsa tidak menaruh keyakinan terhadap inkues itu.

"Kita tidak menerima inkues itu kerana polis sedang menyiasat anggota mereka sendiri.

"Siapa yang akan menyiasat mereka jika mereka melakukan kesalahan? Itulah sebabnya kita memerlukan Akta Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019.

"Ahli keluarga nak mereka yang menembak mangsa didakwa atas kesalahan pembunuhan. Tidak perlu untuk inkues," beliau dipetik sebagai berkata.

Inkues tersebut yang sepatutnya dijadualkan bermula pada 13 Disember lalu, namun telah ditunda pada 21 Januari tahun depan selepas Uthayakumar dan keluarga berkenaan tidak menghadirinya.

Menurut Uthayakumar, bahawa bukan satu kesalahan undang-undang kepada ahli keluarga itu untuk memboikot inkues.

"Ia tertakluk kepada ahli keluarga sama ada nak menghadiri atau tidak. Kecuali mahkamah memutuskan untuk memanggil mereka (sepina).

"Untuk kami, ia hanya membazir masa [...]," katanya kepada portal tersebut.

Pada 14 Sept, tiga lelaki ditembak mati oleh polis di Batu Arang, Rawang.

Mereka adalah S Mahendran (23), G Thavaselvan (31) dan V Janarthanan (40), seorang warga Sri Lanka yang turut memegang kewarganegaraan British.

Isteri kepada Janarthanan, G Moganambal seorang warga Malaysia yang juga merupakan kakak Thavaselvan masih hilang.

Menurut polis, dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah dan terlibat dalam rompakan.

Keluarga Thavaselvan dan Janarthanan turut mempertikaikan versi kejadian polis, dan menuntut pihak berkuasa membekalkan rakaman video untuk membuktikan keperluan untuk menembak.

Menurut keluarga, kedua-dua mereka dan Moganambal telah pergi untuk makan malam sebelum mereka "diculik" dan ditembak oleh polis.

Polis mempertahankan bahawa mereka telah mematuhi prosedur operasi standard mereka semasa kejadian dan terpaksa melepaskan tembakan untuk membela diri.

Sebagai rekod, Uthayakumar tidak mewakili Mahendran.