mk-logo
Berita
'Hadi patut teman Najib buat sumpah laknat'
Diterbitkan:  Dec 20, 2019 12:46 PM
Dikemaskini: 4:47 AM

Bekas persana menteri Najib Razak telah menyatakan kesediaanya melakukan sumpah laknat bagi menafikan dakwaan bekas pegawai polis Azilah Hadri yang menuduh beliau mengarahkan pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Susulan itu, Ketua Pemuda Amanah Negeri Sembilan Mohd Hanis Alimin berpandangan adalah lebih baik Presiden PAS, Abdul Hadi Awang bersama menemani Najib semasa melakukan sumpah laknat tersebut di Masjid Kampung Baru selepas solat Jumaat nanti.

Kata Mohd Hanis, kehadiran Abdul Hadi sekali gus akan menguatkan lagi bukti penyatuan ummah dan muafakat nasional antara Umno dan PAS.

"Hari ini Najib dikatakan akan membuat sumpah laknat. Justeru Pemuda Amanah Negeri Sembilan mengesyorkan supaya Presiden PAS dapat bersama menemani beliau dalam upacara sumpah laknat tersebut.

"Saranan ini juga adalah bagi membuktikan kebersamaan Umno-PAS yang sedang terjalin erat, malah ia sudah pasti perlu dibuktikan dengan tindakan yang ikhlas seperti ini," kata Abdul Hadi seperti dilapor Sinar Harian.

Sebelum ini Najib menyatakan hasratnya untuk bersumpah di Masjid Kampung Baru, selepas solat Jumaat bagi menafikan beliau memberi arahan membunuh Altantuya seperti didakwa Azilah dalam Akuan Berkanun (SD).

Pada 16 Disember lalu, Malaysiakini menyiarkan Akuan Berkanun (SD) Azilah, yang dibuat sebagai pemfailan bagi memohon semakan terhadap hukuman gantung ke atasnya.

Mahkamah Persekutuan Kuala Lumpur menetapkan 20 April tahun depan untuk mendengar permohonan semakan sabitan dan hukuman mati ke atas Azilah.

Sementara itu, Mohd Hanis turut berkata, penyokong setia PAS juga disaran untuk hadir beramai-ramai menyaksikan majlis sumpah laknat berkenaan.

Sumpah laknat ialah perakuan oleh seseorang - tetapi lazimnya dilakukan dua orang atau lebih - untuk menafikan tuduhan yang dikenakan ke atasnya dan berserah kepada Allah bagi menunjukkan siapa yang berdusta.

Lihat Komen
ADS