Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hannah: Kerusi keselamatan adalah hak kanak-kanak

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Hannah Yeoh berkata bahawa penggunaan kerusi keselamatan atau child restraint system (CRS) adalah haksetiap kanak-kanak.

Jelasnya, ini merupakan tanggungjawab ibu bapa bagi menjamin keselamatan anak kecil mereka.

“Isu paling panas sekarang adalah car seat (kerusi keselamatan). Dalam perbahasan kini ibu bapa bimbang terhadap harga, tetapi itu adalah hak kanak-kanak.

“Kalau kamu adalah bayi berumur lapan bulan kamu tetap mempunyai hak supaya dijaga dan dipastikan keselamatan terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media selepas pemberian memo berkenaan isu kanak-kanak kepada kementerian itu oleh NGO Gabungan Hak Kanak-Kanak di Kuala Lumpur hari ini.

CRS merupakan sebuah kerusi yang dikhaskan buat kanak-kanak untuk diletakkan di kereta dan disiapkan dengan beberapa ciri keselamatan seperti tali pinggang supaya mereka selasa dan selamat ketika berada di dalam kenderaan itu.

Pada 23 Oktober lalu, Menteri KPWKM, Wan Azizah Wan Ismail berkata bahawa kerajaan akan mewajibkan penggunaan CRS di dalam kenderaan bagi menyelamatkan kanak-kanak daripada mengalami kecederaan serius atau kematian sekiranya berlaku kemalangan.

Wan Azizah yang juga timbalan perdana menteri membuat keputusan itu susulan statistik yang membimbangkan apabila sebanyak 1,559 kematian dicatatkan membabitkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun dari tahun 2007 hingga 2017.

Katanya lagi, tindakan tegas akan diambil sekiranya ada ibu bapa yang ingkar akan perkara tersebut.

Selain itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook tindakan penguatkuasaan terhadap penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) dalam setiap kereta persendirian hanya akan dibuat selepas tempoh enam bulan perlaksanaannya.

Menegaskan perkara itu, beliau berkata peraturan berkenaan berkuat kuasa 1 Januari hadapan dan tindakan akan dikenakan terhadap mereka yang ingkar selepas tamat tempoh enam bulan pertama yang diperuntukkan bagi mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat dalam aspek keselamatan.

Berhubung isu harga CRS yang dikatakan agak mahal hinggakan menjadi kerisauan ibu-bapa ramai, Loke berkata ia akan mengalami penurunan harga apabila berlakunya peningkatan permintaan dan juga penawaran.

Harap bantuan kementerian lain

Sementara itu, Yeoh juga berharap bantuan dari pihak kementerian lain dapat diberikan bagi membantu pihaknya dalam menangani isu berkenaan kanak-kanak.

Tambahnya, ini kerana setiap kementerian mempunyai tanggungjawab tersendiri apabila membabitkan hak berkenaan kanak-kanak.

“Isu sekolah tahfiz (misalnya) jadi tanggungjawab kementerian pendidikan dan isu kesihatan mental kanak-kanak pula jadi isu kementerian kesihatan.

“Jadi saya harap semua pihak kementerian dapat beri bantuan dalam menangani isu ini (hak kanak-kanak),” katanya.

Lihat Komen
ADS