Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiada pihak ketiga tuntut wang lebih RM10 juta Jakel Trading
Diterbitkan:  Dec 20, 2019 6:02 PM
Dikemaskini: 10:02 AM

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa tiada pihak ketiga berkepentingan yang hadir bagi menuntut wang berjumlah RM10,747,042.77 yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada Jakel Trading Sdn Bhd yang didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh ketika pengurusan kes di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin yang turut dihadiri peguam Thevini Nayagam, mewakili Jakel Trading Sdn Bhd sebagai responden.

“Tiada pihak ketiga yang hadir ke mahkamah hari ini,” katanya.

Pihak ketiga berkepentingan perlu tampil ke mahkamah pada hari yang akan ditetapkan bagi memberikan alasan mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 14 Feb 2020 untuk pendengaran permohonan pendakwaan untuk melucut hak ke atas harta itu.

“Pihak-pihak perlu memfailkan hujahan dalam masa dua minggu, manakala hujahan balas jika ada perlu, dibuat dalam satu minggu,” kata Hakim Muhammad Jamil.

Sementara itu, dalam kes lain, Hakim Muhammad Jamil membenarkan permohonan pendakwaan untuk mewartakan notis kepada pihak ketiga berkepentingan ke atas harta yang disita daripada Gerakan Belia Gagasan 1Malaysia (GBG1M), MCA Pahang dan AGA Touch (M) Sdn Bhd yang didakwa berkaitan dengan dana 1MDB.

Terdahulu, Farah Yasmin berkata hari ini ditetapkan untuk pendengaran permohonan pendakwaan (pemohon) bagi satu perintah untuk mewartakan notis kepada pihak ketiga.

“Perintah ini dibuat mengikut Seksyen 61(2) Akta Pencegahan, Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan, Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001,” katanya

Peguam Tabian Tahir mewakili GBG1M dan AGA Touch pula diwakili peguam Fatin Najwa Ahmad Zainul manakala peguam Datuk Ben Chan bertindak bagi pihak MCA Pahang.

Wang yang disita daripada MCA Pahang ialah RM835,258.19 manakala GBG1M berjumlah RM170,000 manakala jumlah harta bagi AGA Touch tidak didedahkan.

Mahkamah menetapkan 21 Feb tahun depan untuk kehadiran pihak ketiga di mahkamah bagi memberikan alasan mengapa harta berkenaan tidak sepatutnya dilucut hak oleh kerajaan

Proses pewartaan notis berkenaan dibuat mengikut Seksyen 56(1) dan 61(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dalam sidang akhbarnya baru-baru ini berkata permohonan pelucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) di mana suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

- Bernama

Lihat Komen
ADS