Harga runcit petrol RON97 turun enam sen kepada RM2.58 seliter, manakala RON95 dan diesel masing-masing kekal pada RM2.08 dan RM2.18 seliter, berkuat kuasa tengah malam ini sehingga 27 Dis.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini menyebut berdasarkan pengiraan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh yang sama sepatutnya adalah sebanyak RM2.28 seliter dan RM2.34 seliter.

"Ini menunjukkan penurunan dari minggu lepas bagi harga runcit produk petrol RON95 yang berada pada paras RM2.34 seliter, manakala kenaikan bagi harga runcit produk diesel yang berada pada paras RM2.32 seliter.

"Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut, dengan pengekalan harga runcit bagi kedua-dua produk berkenaan, anggaran subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan bagi tempoh itu adalah berjumlah RM93.74 juta.

- Bernama