Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Exco Melaka gesa agensi kerjasama selenggara saliran ikut jadual elak banjir

Kerajaan Melaka menyeru semua pihak terlibat supaya bekerjasama untuk menyelenggara sistem saliran di negeri itu mengikut jadual bagi memastikan bencana banjir besar tidak berlaku terutama ketika musim tengkujuh sekarang.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka Mohd Sofi Abdul Wahab, berkata pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat daerah, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dan Jabatan Pengairan dan Saliran negeri walaupun mempunyai skop tugas berbeza mampu melaksana tugas itu secara berkesan dengan adanya kerjasama kukuh.

"Kita harap semua pihak patuhi standard, peraturan dan piawaian (penyelenggaraan sistem saliran). Penting kita juga harap semua pihak selenggara ikut jadual kerana kita tahu punca banjir bila parit dan sungai tidak diselenggara.

"Hujan turun lebat tetapi (sistem saliran) penuh rumput dan lumpur sebabkan kedalaman itu kurang dan aliran air jadi tidak baik. Pada musim tengkujuh ini semua pihak perlu buat penyelenggaraan khas, kerap dan periksa kembali semua supaya tiada yang terlepas pandang," katanya kepada Bernama.

Beliau mengulas laporan eksklusif Bernama pada Rabu lepas (18 Dis) mengenai penduduk di kawasan berisiko banjir di negeri ini meminta kerajaan negeri serta jabatan dan agensi berkaitan terus menjalankan penyelenggaraan berkesan terhadap sistem saliran yang membantu mengelakkan banjir besar ketika hujan lebat berterusan baru-baru ini.

Sementara itu Mohd Sofi berkata JKR Melaka telah diarahkan untuk mengenal pasti jalan-jalan yang berisiko banjir, sebab ia berlaku serta mengambil tindakan pencegahan supaya masalah banjir terutama banjir kilat tidak berulang di kawasan tersebut.

Beliau berkata antara masalah dikenal pasti adanya paip utiliti dan saluran kabel dipasang di dalam atau sekitar longkang jalan terbabit yang menyebabkan saluran air tidak lancar serta tersekat menyebabkan air melimpah ke jalan.

"Kami kenal pasti tempat ini dan arahkan pihak utiliti, kaji serta ambil tindakan untuk pindahkan paip ini supaya tidak halang aliran air. Banyak paip utiliti jadi penghalang aliran air, sampah akan berkumpul dan tersangkut pada paip itu menyebabkan aliran air tersekat air melimpah ke jalan," katanya.

Bagi usaha jangka masa panjang, Mohd Sofi berkata pihak perancang bandar dan PBT perlu membuat kajian yang lebih terperinci tentang pembinaan serta pembangunan bandar bagi mengelak masalah banjir itu terus menghantui penduduk.

"Kita tahu bahawa antara sebab banjir kilat ialah perancangan tidak baik, bila pembangunan dibuat tidak secara holistik kawasan itu akan jadi mudah banjir," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS