PSP: Tindakan jika naikkan harga barang sewenang-wenangnya
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil tindakan terhadap peniaga di Sarawak yang menaikkan harga barang sesuka hati apabila Program Subsidi Petrol (PSP) bermula pada 1 Jan tahun depan.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Sarawak, Mohd Hanizam Kechek berkata ini kerana Sarawak dan Sabah tidak terbabit dalam pelaksanaan PSP tahun depan dan program itu hanya dilaksanakan di Semenanjung Malaysia.
"Tetapi hasil pemantauan kita kebanyakan barang (dijual peniaga) di Sarawak juga datangnya dari Semenanjung. Kalau ada berlaku kenaikan (harga barang di Sarawak), kita akan mengambil tindakan di bawah Ops Catut 6.0," katanya ketika mengadakan pemeriksaan harga barang Ops Catut 6.0, pakaian seragam sekolah dan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2019 di Kuching, hari ini.
Katanya di Sarawak di bawah Ops Catut 6.0, pihaknya akan lebih menumpukan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap kenaikan harga barang seperti kasut, pakaian, tekstil, makanan dan minuman.
Ops Catut 6.0 bermula 1 Disember lepas dan akan berterusan sehingga 20 Jun 2020 di seluruh negara berikutan pelaksanaan PSP dan merangkumi semua peringkat pengilang, pemasaran am, pengedar, pemborong dan peruncit.
Sementara itu, mengenai pemeriksaan harga pakaian sekolah bermula 18 Dis lepas sehingga 3 Jan tahun depan, Hanizan berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan terhadap harga barangan terbabit dijual peniaga di Sarawak.
"Jika ada aduan terhadap harga barangan itu mahal, tidak berkualiti atau harga dipamerkan berlainan dengan harga dibayar di kaunter (pembayaran) maka orang ramai boleh datang kepada kami bagi membuat aduan itu," katanya.
Manakala pemeriksaan pihaknya bagi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2019 yang mengawal harga 19 jenis barangan, beliau berkata pihaknya belum mengesan peniaga di negeri ini melakukan kesalahan di bawah skim itu sejak dilancarkan semalam.
-Bernama

