Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kecewa dengan MB: Pegawai khas, 11 ahli majlis dari MIC letak jawatan

Kecewa dengan keputusan Kerajaan Negeri Pahang berhubung pengusiran 60 pekebun di Kuala Terla, Cameron Highlands, pegawai khas (wakil India) Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail bertindak meletak jawatan.

Selain itu, 11 ahli majlis daripada MIC juga menarik diri daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai tanda tidak puas dalam isu tanah pendudukan sementara (TOL) di Kuala Terla.

Mereka juga membantah kegagalan kerajaan negeri memberikan tanah alternatif kepada pekebun yang mengusahakan tanah mereka sejak 40 tahun lalu.

"Kami membuat satu mesyuarat tergempar MIC peringkat negeri Pahang semalam. Hasil daripada mesyuarat tersebut, kami mengambil keputusan untuk meletak jawatan semua jawatan dalam kerajaan negeri sehingga menteri besar memberi satu penyelesaian kepada 60 pekebun itu," kata V Arumugam yang merupakan pegawai khas kepada Wan Rosdy.

Bercakap kepada Malaysiakini, Arumugam yang juga pengerusi badan perhubungan MIC negeri Pahang berkata parti itu sangat kecewa dengan tindakan diambil kerajaan negeri.

"Pekebun di sana bukan berkeras nak duduk di situ juga. Mereka sedia pindah ke tempat lain. Jadi, apa masalah memberikan tanah alternatif kepada 60 pekebun itu yang merupakan rakyat Malaysia?".

"Kami harap, MB Pahang (Wan Rosdy) akan segera memberikan perhatian khas kepada isu ini agar ekonomi 60 keluarga ini tidak terjejas," tambahnya lagi.

Malaysiakini sedang berusaha menghubungi pejabat menteri besar Pahang bagi mendapatkan maklumbalas berhubung peletakan jawatan berkenaan.


Baca: Cameron Highlands: Tindakan berlandaskan 'rule of law'


Untuk rekod, Jawatankuasa Khas Pemulihan Cameron Highlands dipengerusikan bersama oleh Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail.

Jawatankuasa itu sebelum ini mengarahkan pekebun berkenaan mengosongkan tanah mereka atas alasan berlaku pencemaran bahan kimia dalam punca air untuk kegunaan penduduk setempat.

Anggota Parlimen Ramli Mohd Nor dalam kenyataannya pada 21 Disember juga menyatakan sokongan kepada keputusan Jawatankuasa Khas itu.

Namun, MIC yang tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan meminta Wan Rosdy dan Ramli menyediakan tanah alternatif kepada kesemua pekebun terbabit.

Terdahulu, Arumugam memaklumkan peletakan jawatannya kepada Wan rosdy melalui satu kiriman WhatsApp.

MIC mempunyai 11 ahli majlis di Pahang termasuk Arumugam yang juga seorang wakil PBT.

Lihat Komen
ADS