Malaysiakini
BERITA

Polis trafik berhujan bersihkan longkang jalan dinaiki air

Diterbitkan
Dikemaskini 23 Dis 2019, 3:26 petang

Tindakan anggota polis trafik yang berhujan membersihkan longkang sumbat pada sebatang jalan yang mula dinaiki air mendapat pujian warganet.

Kejadian itu dikatakan berlaku di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur dan rakaman videonya dimuat naik di akaun instagram Polis Diraja Malaysia.

Klip video itu disertakan dengan keterangan: "Biar kami basah lencun disimbahi air hujan, asalkan aliran trafik berjalan lancar."

Pentadbir akaun Instagram itu turut menyertakan ucapan tahniah kepada anggota polis trafik berkenaan.

"Syabas dan tahniah diucapkan kepada anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur yang membantu mengeluarkan sisa-sisa pepejal tersumbat di dalam longkang sekitar Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur akibat hujan lebat, petang semalam.

"Hanya Yang Maha Esa sahajalah mampu memberikan ganjaran setimpal atas kebaikan dan sifat ehsan tersebut," katanya.

Rata-rata ulasan yang ditinggalkan warganet memuji tindakan pegawai polis itu.

"Terima kasih, abang polis," kata pengguna Instagram @nasyrulridzuan.

"Terbaik.. Semoga urusan polis ni dipermudahkan dan dilimpahkan rezeki. Sihat selalu," kata @armel8793.

 

Bagaimanapun, terdapat warganet yang mempersoalkan peranan pihak berkuasa tempatan untuk memastikan longkang tidak tersumbat.

"Pihak berwajib sepatutnya bertanggungjawab. Bukan PDRM," kata @mohdmurshidomar

"Tahniah abang polis. Mana dia kontraktor yang dapat kontrak pembersihan sampah?" soal @mohdbashah

Lembah Klang menyaksikan banjir kilat sejak kebelakangan ini susulan hujan lebat.

Hujan lebat musim tengkujuh kali ini juga menyebabkan banjir di beberapa negeri termasuk pantai timur, yang menyebabkan lebih daripada 2,000 dipindahkan.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.