Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Masalah mutakhir industri halal Malaysia, dan cara mengatasinya

Dengan permintaan daripada ekonomi Muslim dunia yang meningkat dan sokongan kerajaan, barangan halal merupakan antara satu eksport utama Malaysia.

Pada masa sama industri itu menawarkan peluang unit bagi industri kecil dan sederhana (IKS).

Industri halal Malaysia telah berkembang sejak dekad lalu, kadar eksport meningkat tiga kali ganda dengan nilai tertinggi RM43.3 bilion pada 2017.

Bagaimanapun nilai eksport halal Malaysia menyaksikan penurunan yang tidak dijangka tahun lalu. Nilai untuk tahun ini belum dipastikan.

Dengan ketidaktentuan ekonomi di hadapan, adakah kerajaan dapat menangani perkara itu dan mencapai sasaran nilai eksport RM50 bilion untuk barangan halal pada 2020?

Penurunan tak dijangka pada 2018

Pada 2008, kerajaan BN mengeluarkan Pelan Induk Industri Halal 2008-2020 sebagai langkah menjadikan Malaysia sebagai "hab halal global", yang memainkan peranan sebagai "pemimpin global dalam indovasi, pengeluaran dan perdagangan sektor berkaitan halal".

Dari segi perdagangan, pelan itu pada asalnya menyasarkan RM19 bilion untuk nilai eksport halal, tetapi memandangkan ia telah dicapai, pada 2011 sasaran itu dinaikkan pada RM50 bilion menjelang 2020.

Halal Industry Development Corporation (HDC), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) merupakan pemacu utama eksport barangan halal.

Eksport Malaysia, yang mendapat pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), meliputi produk seperti makanan, minuman, kosmetik dan ubat-ubatan, kepada bahan kimia industri.

Menurut HDC, nilai eksport halal pada 2018 menurun 7.6 peratus berbanding nilai tahun sebelumnya iaitu pada RM40 bilion. Ia mengganggu trend pertumbuhan industri itu.

Nilai eksport halal Malaysia hampir meningkat tiga kali ganda dalam masa tujuh tahun, daripada RM15.2 bilion pada 2010 kepada RM43.3 bilion pada 2017.

Kaitan harga minyak sawit

Jadi apakah yang menjadi punca penurunan itu?

Kerajaan mengaitkan penurunan tahun lalu dengan kemerosotan harga minyak sawit.

Kemerosotan harga komoditi itu memberi kesan kepada industri halal yang bergantung kepada bahan berkaitan sawit, seperti yang dinyatakan CEO HDC Hairol Ariffein Sahari.

"Jika anda lihat eksport halal kita, 40 peratus daripadanya adalah barangan berasaskan sawit," katanya ketika wawancara bersama Malaysiakini.

 Jika dibandingkan dengan 2017, eksport barangan halal pada 2018 menurun secara signifikan dalam "bahan terbitan minyak sawit" (bahan kimia yang dibuat daripada minyak sawit mentah" dan "ramuan halal " untuk produk makanan dan bukan makanan.

Peningkatan hanya direkodkan dalam kategori "kosmetik dan penjagaan diri".

Tambahan pula, 2018 adalah tahun yang buruk buat industri minyak sawit. Eksport minyak sawit dinyahbau luntur bertapis menyaksikan kemerosotan berterusan daripada AS$637 setan pada Januari kepada AS$479 setan pada Disember 2018.

Matrade: Sukar capai sasaran

Penurunan nilai eksport telah menyukarkan sasaran RM50 bilion menjelang akhir tahun depan.

Remee Yaakub, pengarah bahagian halal, makanan, dan barangan asas tani Matrade, memberitahu Malaysiakini bahawa melihat kepada metriks perdagangan sehingga September 2019, "tidak mungkin dapat mencapai RM45 bilion" nilai eksport menjelang akhir tahun ini.

Bagaimanapun Hairol lebih optimistik untuk mencapai sasaran RM50 bilion tahun depan, dengan mengatakan ia tidak mustahil.

"Tetapi secara konservatif, kita tak boleh nafikan hakikat senario ekonomi semasa sangat mencabar kerana kemerosotan ekonomi.

"Ia menjejaskan sebahagian segmen dan industri, terutama minyak sawit," katanya lagi.

Bagaimanapun keadaan tampak semakin baik pada 2019 apabila harga minyak sawit naik sekitar AS$622 setan pada November tahun ini.

Peluang dalam Olimpik Tokyo 2020

Kerajaan tidak bergantung kepada peningkatan harga minyak sawit semata-mata untuk mencapai sasaran itu. Ia masih berusaha mengembangkan pasaran halal di peringkat global.

Pelan Induk Industri Halal 2.0, yang sedang dirangka kerajaan, bertujuan "menjadikan Malaysia negara paling kompetitif dalam industri halal global" menjelang 2030.

Perincian sasaran belum diberikan, tetapi kunci utama pertumbuhan ialah pengantarabangsaan atau hubungan saling manfaat dengan negara Muslim dan bukan Muslim, kata Hairol.

Memetik kunjungannya ke Korea Selatan baru-baru ini, di mana dia menyaksikan kekurangan syarikat halal untuk memenuhi permintaan, Hairol berkata HDC akan mengendalikan pensijilan halal di kalangan perniagaan tempatan sambil memperkenalkan rakan usaha sama dari Malaysia.

Dalam soal peluang baru bagi perniagaan halal, terutama untuk IKS, tumpuan kini ke arah industri pelancongan di Jepun, yang akan menganjurkan Sukan Olimpik dan Paralimpik di Tokyo pada tahun depan.

Pada tahun lalu, Jepun menjadi pengimport barang halal Malaysia ketiga terbesar, selepas Singapura dan China.

 Kementerian Pembangunan Usahawan akan menjadi hos "Malaysian Street", zon berhampiran venue kejohonan itu di mana produk Malaysia, terutama barangan halal, akan dipamerkan.

Menurut menterinya Mohd Rezuan Yusof, acara itu akan menjadi peluang menarik perhatian pasaran halal global.

"Kami akan mempamerkan barangan halal Malaysia di Tokyo," katanya kepada Malaysiakini.

Perincian berkenaannya belum diumumkan, namun kementerian itu telah memilih empat syarikat utama selain mengalu-alukan penyertaan lebih banyak syarikat.

Menurut Redzuan, dianggarkan 40 peratus daripada 45,000 atlet dan pegawai yang menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020 akan memerlukan barangan patuh syariah.

Ditambah pula dengan kunjungan pelancong Muslim dari Julai ke September 2020 untuk menyaksikan acara itu, permintaan terhadap makanan dan barangan halal lain boleh membuka pintu kepada syarikat Malaysia.

'Setitik air di lautan'

Walaupun eksport halal merupakan bahagian signifikan dalam ekonomi, Malaysia hanya memenuhi sebahagian kecil pasaran halal global yang besar.

"Kira-kira 40 bilion (pada 2018) masih kecil jika dibandingkan dengan permintaan global.

"Dari sisi statistik, sumbangan kita dalam pasaran global seperti setitik air di lautan," kata Redzuan.

Pasaran global bagi makanan serta produk farmaseutikal dan kosmetik halal mencatatkan nilai AS$1.5 trilion (RM6.4 trilion), menurut firma penyelidikan DinarStandard.

Nilai eksport halal Malaysia memperoleh RM20 bilion, RM400 juta, dan RM3 bilion dalam tiga kategori itu pada tahun lalu.

Dengan kata lain, negara hanya menguasai kira-kira satu peratus daripada keseluruhan permintaan barangan halal di seluruh dunia.

Laporan DinarStandard mengunjurkan jumlah saiz pasaran bagi tiga kategori itu mencecah AS$2.2 trilion (RM9.2 trilion) pada 2024.

Malaysia boleh melakukan lebih lagi untuk meningkatkan penguasaannya dalam pasaran halal global. Selain Jepun dan Korea Selatan, kerajaan juga menumpukan perhatian kepada India memandangkan permintaan negara itu terhadap barangan minyak sawit secara relatifnya kekal.

Walaupun berada di kedudukan ketujuh dalam nilai eksport halal Malaysia tahun lalu, India menjadi negara tunggal yang mencatatkan peningkatan nilai bagi tempoh 2017-2018.

Negara dengan populasi Muslim kedua terbesar dunia itu juga berpotensi meningkatkan permintaan terhadap barangan kosmetik halal.

Membantu IKS

Inisiatif eksport halal Malaysia berkait rapat dengan mempromosikan IKS tempatan.

Redzuan berkata, kerajaan berhasrat meningkatkan sumbangan IKS dalam nilai eksport Malaysia kepada 25 peratus pada 2020, daripada 17 peratus sekarang.

"Dan majoriti pertumbuhan perlu datang daripada IKS dalam industri halal," katanya lagi.

Malah jumlah perniagaan kecil dan sederhana yang mendapatkan status halal dan mengeksport keluaran mereka semakin bertambah.

Pada tahun lalu, sejumlah 962 syarikat kecil, 439 (sederhana) dan 426 (multinasional) mengeksport barangan halal mereka. Jumlah syarikat kecil meningkat berbanding 632 buah pada 2016.

 Bagaimanapun, dari segi sumbangan kepada nilai eksport, IKS hanya merangkumi 30 peratus, menurut HDC. Dari segi nilai, sejumlah besar nilai eksport negara masih dipegang syarikat multinasional.

Berdasarkan anggaran HDC, lebih 200,000 IKS di Malaysia berpotensi mendapat sijil halal, tetapi hanya 6,500, atau tiga peratus, yang telah mendapatkannya.

"Masalahnya bukan tentang pensijilan," kata Hairol, yang berkata pada masa ini tidak cukup insentif bagi IKS melalui proses pensijilan yang panjang dan terperinci.

"Ramai berkata sebaik saja anda mendapat status halal, anda boleh jual produk ke seluruh dunia. Jawapannya tidak," katanya.

Selain pensijilan halal, katanya lagi, ada beberapa piawaian antarabangsa yang perlu dipatuhi seperti Good Manufacturing Practice (GMP) or Hazard Analysis Critical Control Points (HACCP).

"Ini merupakan antara yang boleh dipermudahkan oleh HDC," katanya lagi.

Hairol menekankan kepentingan "perlunya menukar strategi" dengan "mengantarabangsakan" syarikat Malaysia agar boleh menguasai pasaran global yang besar.

"Saya yakin 15 tahun dari sekarang, kita tidak seharusnya mengeluarkan hanya AS$20 bilion atau AS$30 bilion (nilai eksport), tetapi lebih lagi.

"Satu-satunya cara untuk melakukannya adalah menghubungkan ekosistem halal kita dengan ekosistem halal bahagian lain di dunia ini," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS