Dalam ucapan sempena Hari Krismas yang akan disambut esok, Menteri Kewangan Lim Guan Eng menggesa kerajaan agar berusaha lebih keras untuk menunaikan janji yang terkandung dalam manifesto PRU ke-14.

Lim berkata, kerajaan juga perlu menyelamatkan dan membina semula ekonomi negara daripada apa yang menurutnya sebagai "rasuah dan keborosan kewangan" oleh pentadbiran terdahulu.

"Prinsip yang dipertahankan akan membawa kemajuan. Nilai yang dilindungi akan mempromosikan keadilan.

"sama seperti Krismas yang menjanjikan penyelamatan kepada orang Kristian buat selama-lamanya, kerajaan juga perlu menunaikan janji yang dibuat.

"Kerajaan PH perlu lebih lebih mendengar dan bekerja lebih keras untuk menunaikan janji PRU 2018 demi aspirasi Malaysia baru," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam ucapannya, Lim turut menggesa rakyat Malaysia untuk terus meraikan kepelbagaian dan sikap toleransi, serta kepelbagaian agama "di kalangan orang bukan Islam di sebuah negara di mana Islam menjadi agama Persekutuan".

"Hanya bila kita cukup berani untuk mempertahankan kebebasan asas ini, kita berjaya menegakkan Perlembagaan Persekutuan.

"Kita perlu menolak pihak ekstrem yang mahu melarang ucapan perayaan (terhadap penganut agama lain) yang bertentangan dengan semangat Malaysia dan semua agama yang mengajar keamanan dan kebaikan kepada manusia lain," katanya lagi.