Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Indeks kesejahteraan rakyat Malaysia naik 0.8 peratus

Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) meningkat 0.8 peratus kepada 122.4 mata indeks pada 2018 berbanding 121.4 mata pada tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Pada tahun lepas, kesejahteraan dari segi sosial meningkat lebih daripada kesejahteraan ekonomi, berbanding trend keseluruhan sejak 2000 -- tahun asas apabila indeks berada pada 100 mata.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, indeks subkomposit kesejahteraan sosial naik satu peratus, atau 1.2 mata indeks, pada 2018 manakala subkomposit ekonomi meningkat 0.7 peratus atau 0.9 mata.

“Bagi tempoh 2000 hingga 2018, subkomposit kesejahteraan ekonomi naik 31.0 mata manakala subkomposit kesejahteraan sosial meningkat 17.7 mata,” kata Ketua Perangkawan Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini.

Subkomposit kesejahteraan ekonomi meliputi lima komponen -- iaitu pengangkutan, pendapatan dan pengagihan, komunikasi, pendidikan dan persekitaran kerja - manakala subkomposit sosial meliputi sembilan komponen daripada liburan kepada keselamatan awam.

Berdasarkan data dipaparkan di laman web Jabatan Perangkaan Malaysia, semua komponen IKRM mencatatkan peningkatan pada 2018 berbanding tahun sebelumnya kecuali komunikasi (berkurangan daripada 131.0 kepada 130.8), tadbir urus (124.3 kepada 121.5) dan kesihatan (106.2 kepada 105.6).

Komponen komunikasi termasuklah petunjuk seperti talian telefon dan langganan Internet serta jumlah lokasi hotspot. Kesihatan meliputi petunjuk berkaitan tahap kesihatan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Dari segi kesejahteraan ekonomi, komponen pengangkutan mencatatkan indeks tertinggi pada 2018, sebanyak 134.7 mata indeks, diikuti pendapatan dan pengagihan (133.4 mata) dan komunikasi (130.8 mata), menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Bagi kesejahteraan sosial, jabatan itu berkata komponen liburan mencapai indeks tertinggi sebanyak 133.9 mata, diikuti keselamatan awam (132.4 mata) dan penyertaan sosial (128.6 mata).

IKRM merupakan penambahbaikan kepada Indeks Kualiti Hidup Rakyat Malaysia, diterbitkan kali pertama pada 1999 untuk mengukur pencapaian negara dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, IKRM akan menjadi penanda aras yang penting dalam merangka dasar dan program ke arah mencapai negara maju berpendapatan tinggi yang inklusif dan mampan.



-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS